Friday 12 June 2009

Pengumuman..Achtung...

Saya masih lagi belum boleh memautkan novel "Terasing" dalam blog ini kerana saya tidak ingin mengambil sebarang risiko dari sudut perundangan (pemegang hakcipta) . Justeru saya hanya pautkan beberapa petikan dari novel tersebut(klik sini). Jika sesiapa berminat untuk membaca keseluruhan novel, sila berurusan dengan saudara Langit Ilahi..

Komentar "Terasing"-Bahagian Dua

Sambungan Bahagian Pertama

Bagi saya perkara yang paling penting dinyatakan di sini adalah persoalan-persoalan yang timbul di sepanjang novel. Terdapat juga kesalahan kecil tapi jelek dek kerana kurangnya pemahaman penulis sendiri dan gaya penulisan yang parabola. Sebagai contoh dalam Bab 3 udara jiwang dalam novel ini tiba kesatu tahap membuatkan kan kita lemas dan pembaca akan mula rimas. Terlalu dileret-leret namun isinya tetap sama. Sebagai contoh dalam bab 3 ketika dari awal bab

(Aku tersenyum. “ Nak tolong sayang la”.“ Kan saya kata tak apa tadi?” “ Eh, tak dengar pun?” Aku sengaja. Memang Atikah tak kata apa-apa pun, dia geleng sahaja. Terus aku mendahului Atikah ke dapur.Di dapur, lauk pauk telah tersedia.)

Sehingga lah(“ Cukuplah tu. Nanti saya tak boleh bernafas sebab lemas dengan udara jiwang abang”)

Dialog-dialog yang dirasakan tak perlu dinyatakan dengan begitu terperinci. Sebagai contoh ketika Zaman menziarahi Saifullah. Sementalahan pula kenalan lama ini baru pertama kali datang ke rumah

(“ Alhamdulillah, rezeki ALLAH. Aku kerja pensyarah, gaji sekitar RM10,000 juga bila ditambah elaun dan sebagainya. Atikah pula kerja peguam, gaji besar juga. Ditambah pula kami ada syer di bawah Syarikat Tuju kepunyaan ayah Atikah, jadi memang rezeki mencurah-curah la”)

Tidak perlu rasanye membuat ekspresi yang begitu pelik sampai berpandangan. Bahasa Jepun walaupun tidaklah dikuasai oleh majoriti penduduk negara ini namun bukan lah terlalu asing dengan masyarakat kita

(“ Hai’” Perkataan bahasa jepun, bermaksud ‘ya’, keluar dari bibir Zaman semasa dia menolak tubuhnya untuk bangun dari sofa.Aku memandang sahabatku itu. Zaman yang hendak bergerak ke meja makan, terhenti langkahannya. Kami pandang memandang.“ Kenapa?” Zaman bertanya.“ Kau tahu bahasa jepun?” “ Em, sikit-sikit” Telunjuknya menggaru dagu. Gaya segan.“ Pakcik, Kami sekeluarga belajar jugak” Faizan memberitahu.“ Oh, ya ke?” Zaman macam terkejut.“ Douzo” Shuraish menunjukkan tempat dudu Zaman sambil berbahasa Jepun. Douzo bermaksud silakan.)

Terdapat juga kosa kata dan tatabahsa Inggeris yang salah penggunaannya.

(Amiri menggeleng. “ Orang-orang aku tidak dapat menembusi lapisan kepimpinan. Nampaknya, kepimpinan mereka yang sebenar bukannya berada di Malaysia. Jadi, perkara di luar Malaysia bukan di bawah jurisdiksi kami”.“ Jurisdiksi?” Aku tidak faham.“ Dari Jurisdiction. Maksudnya, peraturan la” Atikah, seorang peguam, pastinya mengetahui.ms 86)

Jurisdiction bukan peraturan tetapi bidang kuasa.

(Aku mengambil N-Gage yang kuletakkan di tepi katil. Kulihat pada skrinnya, mana tahu kalau orang Homurodama, atau Zaman sendiri menghubungiku. Tetapi hampa, tiada senarai miss call yang wujud dalam kotak hubungan. Telefon antik itu kuletakkan semula.ms 102)

Perkataan miss call seharusnya missed call.

Petikan-petikan yang meragukan

(“ Aku tidak akan membongkarkan apa-apa!” Lelaki itu menjerit. “ Kau akan menyesal menentang kami polis jahanam! Kau semua tak akan menang!”Amiri menoleh ke arah lelaki itu. “ Siapa polis? Aku SEG. Dan kau semua tak mengenali langsung kami.” Dingin suara abang iparku itu.ms 67)

mengapa perlu pasukan elit seperti SEG memperkenalkan diri pada penjenayah.

(“ Hah? Klorok? Cuci pemikiran?” Aku tak faham.“ Tengok” Amiri menunjuk.Beberapa pegawai SEG tiba ke tempat ramai orang berkumpul. Nampaknya, mereka sedang buat penerangan terhadap apa yang terjadi.ms 69)

masakan Saifullah begitu naif sekali tidak memahami apa yang dikatakan Amiri.

(Jadi, kawan aku itu ajak aku untuk menjadi muraqib. Muraqib ni macam pemandu pelancong la, penjaga sepanjang perjalanan” Aku menerangkan. Ms 72)

Bukankah Zaman sendiri belajar di Maghribi masakan tidak memahami istilah muraqib.

(“ Ada kawan yang bekerja sebagai peguam negara, pernah cerita fasal kes ini. Yang kes di sempadan, berkenaan serbuan polis atas kerja mereka menyeludup senjata api” Atikah memberitahu.)

Jawatan Peguam Negara (A.G) digambarkan tidak setanding dengan taraf jawatan tersebut. Sementara Saif sendiri seolah-seolah tidak tahu siapa Peguam Negara.

(Kalau PASKAL adalah tentera elit yang menjaga negara dalam hal serangan dari luar negara, maka SEG adalah skuad khas untuk berurusan dengan kes-kes berprofil tinggi di dalam negara ms-112)

Adakah ini fungsi sebenar PASKAL? Apakah PASKAL itu sebenarnya.

(Aku mengangkat kepala memandang kawasan hadapan, sambil menjawab salam. Seorang lelaki berpakaian kemas, datang dengan wajah yang agak kerisauan.

“ Kau tak apa-apa kah?” Itu yang pertama keluar selepas salam, tanda kasih sayang dan ambil beratnya yang tinggi terhadap aku.

Senior. Sahabat terbaik yang aku ada.

“ Alhamdulillah. Tiada apa-apa” Aku mempersilakannya duduk. Dia duduk di sebelahku. Aku berada di antara Amiri dan Senior sekarang.

“ Abang dari mana tadi? Kompleks?” Amiri bertanya.

Aku lihat Senior menganggukkan kepala. “ Dapat panggilan dari kau, aku terus ke mari”

Tangan Senior mendakap belakang tubuhku. “ Ada apa-apa rancangan?”

Aku menjungkit bahu. Mati akal. “ Mereka hendak adakan perjumpaan pukul 12 tengahari esok. Tetapi tempatnya tidak diberitahu. Kata Zaman, mereka akan menghubungi saya nanti. Zaman juga kata, mereka tidak mahu campur tangan SEG semasa perjumpaan. Mereka hendak cip itu diserahkan. Jika tidak, nyawa Atikah dan anak-anak akan diancam”

Amiri dan Senior diam sebentar. Kemudian Senior bersuara, “ Macam mana Amiri?”

Amiri memandang keluar, kemudian memanggil salah seorang ahli SEG. Dia berbisik dengan ahli SEG itu, kemudian ahli SEG itu bergerak meninggalkan kami. Sebentar kemudian, ahli SEG itu datang kembali membawa sesuatu. Dia menyerahkan barang itu kepada Amiri. Amiri menunjukkan barang itu kepada kami.

Cenderamata Stadium Olimpik Nagano, dalam keadaan seperti belum dibuka oleh Amiri dua hari lepas.

Aku kehairanan. “ Kau kata, pihak kau masih sedang berusaha untuk membuka kod cip itu. Sekarang macam mana? Cenderamata ini berada di tangan kau”

“ Sabar, tunggu penjelasan aku dulu. Sekarang dengar sini baik-baik” Amiri merapatkan lagi tubuhnya kepadaku. Senior juga sama. Aku jadi macam tersepit antara mereka. Amiri bercakap dengan suara perlahan sahaja.

“ Cip itu tiada di dalam cenderamata ini. Esok, kau akan pergi dengan Senior ke kawasan yang akan mereka tetapkan. Kau akan serahkan cenderamata ini kepada mereka.”

“ Kau hendak mempertaruhkan nyawa Atikah dan anak-anak aku?” Aku membesarkan mata. Terkejut. “ Bagaimana kalau mereka sedar yang cip itu tiada?”

“ Kau ingat, mereka hendak lepaskan kau walaupun cip itu ada?” Sekali lagi, kenyataan itu diulang. Aku terdiam. Ms 115)

Mengapa perancangan yang sebahaya ini dibincangkan oleh mereka bertiga sahaja. Dimana anggota SEG yang lain sekurang-kurangnya timbalan Amiri.

(Siapakah dia?

Aku memandang Amiri. Iparku itu mengeluarkan satu objek yang kelihatan seperti bom tangan, namun berbentuk silinder sederhana besarnya. Dia hendak mencampakkan bom di sini? Tidak bahayakah?

Aku baru sahaja hendak menjerit, meminta dia berfikir, tetapi Amiri sudah bertindak dahulu. Bom itu dibaling. Aku menutup telinga.

Puff....

Bunyi seperti angin keluar. Dan sebentar sahaja, asap putih berkepul-kepul menyelubungi kawasan. Pandangan mataku terhalang.

“ Celaka! Kau jangan ingat kau boleh main-mainkan aku!”

Bang! Bang! Bang!

Berdas-das tembakan kedengaran dilepaskan. Nampaknya, lelaki bersama Zaman itu benar-benar marah.

Tiba-tiba bahuku ditepuk. Amiri muncul. “ Bagaimana?” Aku bertanya dalam bisik.

“ Kau, boleh bergerak tanpa melihat?” Amiri bertanya.

Kalau menggunakan langkah si buta dari gua hantu yang diajar ayah, memang mudah sahaja bergerak tanpa cahaya. Aku mengangguk.

“ Baik, sekarang, kita perlu sisihkan mereka dari senjata mereka” Amiri mengemukakan rancangan.

“ Kenapa tak tembak sahaja?”

“ Sebab kami perlukan dia”

“ Dia?”

“ Yang tinggi tu. Dia adalah ketua Homurodama yang sebenar. Bukan Zaman. Kami perlukan dia untuk membantu penyiasatan bagi menghalang pergerakan Yakuza Ryuken di negara lain”

“ Bagaimana kalau mereka menembak rambang bila disentuh?”

Amiri menggeleng. “ Dalam asap tebal ini, mereka tidak akan menembak rambang, kecuali ke atas sahaja. Sebab mereka berdua, pastinya risau tembakan terkena kepada rakan”

Aku faham. “ Boleh bergerak?” Amiri bertanya.

Aku terus menolak lantai, menghantar tubuhku memasuki asap putih yang agak tebal. Walaupun aku tidak dapat melihat mereka berdua, tetapi telingaku cekap menangkap apa sahaja bunyi yang boleh membuatkan aku tahu posisi mereka. Aku emnjaga langkahanku, agar posisi aku tidak diketahui. ms 132)

Mustahil gas pemedih mata ini mampu ditahan. Nampaknya penulis memang tidak pernah mengenali apa itu tear gas?

Nota kaki tidak dimanfaatkan dengan memberikan makna setiap perkataan bahasa asing yang disebut dalam setiap ayat penyata. Perkara ini akan merimaskan pembaca dan mengundang satu perasaan tidak selesa.

Douzo” Shuraish menunjukkan tempat dudu Zaman sambil berbahasa Jepun. Douzo bermaksud silakan.ms 48

Hai’” Perkataan bahasa jepun, bermaksud ‘ya’, keluar dari bibir Zaman semasa dia menolak tubuhnya untuk bangun dari sofa.ms 48

Itadakimasu” Ucapan tradisi orang jepun sebelum makan.ms 49

Aishiteimasu” Aku mengucapkan kata-kata ‘Aku cinta padamu’ dalam bahasa jepun, perlahan. Dahinya yang bersih itu kukucup dengan penuh rasa cinta.ms 53

Wa ana kaman” Dan saya lebih lagi. Itu dalam bahasa arab pasar Jordan. Disebut lembut oleh Atikah.ms 53

Saifullah juga seorang pensyrah yang tidak kuat membaca kerana tidak dinyatakan koleksi buku yang dimiliki oleh pensyarah ini (Saifullah). Selaku seorang ahli akademik buku pasti sahaja menjadi bahan mamahannya dan koleksi buku pasti sahaja akan terpampang di ruang tamu.

Sungguh pun terdapat puluhan cerita-cerita yang meragukan di dalam novel ini, namun hasrat Langit Ilahi untuk mengetengahkan konsep da’wah dan ukhwah itu harus di puji. Terdapa satu rangkap yang menarik pandangan saya iaitu menegnai alam sekitar. Jarang tulisan-tulisan da’wah mengetengahkan isu ini

(Kita juga perlu menjalinkan ukhuwwah dengan alam. Menyayangi alam dan menjaga mereka dengan tidak mencemari mereka. Hal ini kerana, kita lengkap melengkapi dengan alam. Kita memerlukan mereka untuk memberikan kita kehidupan yang kondusif. Kita perlukan udara segar untuk hidup. Dan mereka memerlukan kita untuk menjaga mereka- ms59)

Kesimpulan dan testimonial.

Terasing cuba mengheret isu-isu da’wah dan ukhwah yang berat bagi memperkenalkan Islam ketengah masyarakat. Tetapi nampak cacat dengan kesilapan-kesilapan yang kecil tapi jelek (Silly mistakes) membuatkan pembaca menjadi bosan dan tertanya-tanya adakah penulis novel ini tidak membaca atau membuat rujukan sebelum menulis. Tekadang sesetangah isu penting dinyatakan sekali lalu sebaliknya yang kurang penting dihela dan diseret sebegitu panjang.

Wallahu a’lam

Komentar novel "Terasing"-Bahagian Satu

Pendahuluan :

Novel remaja Islamis menjadi yang trend masa kini merupakan salah satu daripada genre sastera Islam. Genre ini tidak datang dengan saja-saja.

Menurut sebuah tulisan mengenai Teori Pengkaedahan Melayu yang diperkenalkan oleh Hashim Yahya (Profesor. Dr.) antara dasar-dasar sastera Islam ialah karya yang mempunyai amanat keIslaman yang membawa slogan “sastera kerana Allah untuk manusia”. Kedua menunjukkan sifat keagamaan dimana pengarang itu sendiri memahami Islam dan dapat melahirkan keyakinan penuh terhadap Islam itu sendiri. Ketiga mempunyai nilai-nilai estetika yang bersumber keapda Al-Quran dan As-Sunnah. Keempat menggambarkan keindahan alam penciptaan Tuhan yang bertujuan menilai dan memuji ke Agungan-Nya. Dan dasar terakhir penulisan itu harus menimbulkan kesan positif kepada pembaca itu sendiri. Antara contoh penulisan Novel-novel yang didasari sastera Islam ialah seperti Julia, Cinta Madinah, Ayat-ayat Cinta Ketika Cinta Bertasbih. Novel-novel ini menjadi alternatif kepada lambakan novel-novel cinta murahan yang selalunya dilatari oleh percintaan remaja yang menyimpang dari syariat dan tatasusila adab ketimuran serta dipenuhi oleh budaya hedonism yang membejat .

Novel seharusnya menjadi bahan bacaan yang bukan sahaja boleh dijual kerana mutunya sewajibnya juga membawa nilai-nilai moral dan akhlaqul karimah yang akan membawa pembaca sedar dan melakukan perkara yang betul. Terasing dilihat cuba memenuhi dasar-dasar sastera Islam itu sendiri. Saudara Langit Ilahi membawa unsur-unsur dan fikrah Islam yang sarat sepanjang novel ini.

Dari hal “Terasing”.

Perwatakan.

Terasing membawa watak-watak protagonist dan antagonis yang pelbagai ragam. Watak Saifullah Jr (bagi membezakan dengan abang iparnya Saifullah senior) selaku watak utama digambarkan sebagai watak yang perfect tidak keterlaluan dikatakan terlalu perfect. Selaku seorang bekas pelajar sekolah agama yang melanjutkan pelajaran ke Jordan, Saif bertugas sebagai seorang pensyarah kanan di sebuah pusat pengajian tinggi. mempunyai segala-galanya . Rumah yang besar, isteri yang cantik, anak-anak yang baik, gaji yang banyak, kereta yang besar. Agak mustahil mencari ketidak sempurnaan Saif. Dalam masa sebelas tahun sahaja beliau sudah memperolehi gaji sebanyak RM 10,000 dan memandu Mercedes Brabus namun hanya memakai telefon bimbit N-Gage. Mempunyai fikrah Islami namun sedikit sinis terhadap permasalahan kecil seperti pemakaian jeans.

(Sebab itulah, bila pertama kali bertemu dengannya dengan pakaian jean serba hitam, membuatkan aku hampir mempunyai perasaan kurang senang kepadanya. Ms 76/b 13)

Terkadang timbul lawak-lawak yang tidak menggambarkan perwatakan intelektual seorang pensyarah

(Atikah mencemikkan muka. “ Abang berdua ni kan, memang la. Kalau tak sakat orang tak boleh ya? Mana aci, dua-dua suka sangat menyakat Ika. Ini dah masuk kes buli tau”. “ Sayang, aci kat India la” Aku menambah hangat.ms 13/b 5)

(“ Jalan baik-baik ayah!” Faizan berpesan separuh jerit.Ketika itu, kereta sudah bergerak sedikit meninggalkan mereka. Aku mengeluarkan tangan, menunjukkan tanda ‘peace’ dan menjerit dari dalam kereta,“ Ayah pandu kereta lah, bukannya jalan kaki!”ms 29/b 3)

Seorang pengamal ilmu mempertahankan diri lagak pendekar tetapi mempunyai hati yang lembut dan mudah menangis.

(Itulah yang tertulis. Hatiku remuk. Air mata yang sedari tadi kutahan-tahan, akhirnya mengalir juga. Aku benar-benar tidak mampu bertenang secara sempurna. Sudahlah Zaman, seorang sahabat yang dikasihi, dicintai, rupanya merupakan seorang penjenayah yang dikehendaki. Kini isteri dan anak-anak pula terlibat sama.ms 98/b1)

Seterusnya Tengku Atikah bt Tengku Muhammad, isteri kepada Saifullah. Bersekolah bersama dengan Saifullah. Seorang pengawas yang garang namun lemam lentok dan manja sesudah kahwin. Wataknya penuh sabar dan cuba sedaya upaya menjadi isteri yang solehah dan ibu mithali. Bekerja sebagai seorang peguam lulusan UIA. Sering sibuk naik turun mahkamah namun sempat pula pulang ke rumah menyediakan makan tengahari untuk keluarga . Satu idaman setiap peguam.

Tengku Saifullah Al-Maslul bin Tengku Muhammad, abang kepada Atikah dan ipar kepada Saifullah. Seorang pengurus Syarikat Tuju yang pada asalnya merupakan sebuah syarikat penerbitan, membuka restoran dan Rumah Anak yatim. Sering memberi nasihat, ingatan dan semangat kepada adik dan iparnya.

Kak Wardah. Isteri kepada Tengku Saifullah. Juga bersifat seperti Atikah. Sabar dan taat dalam mendidik anak-anak danmembantu suami mengusukan rumah tangga.

Amiri adik tengku Saifullah, abang Atikah dan ipar Saif. Seorang anggota ketua pasukan keselamatan elit negara di kenali sebagai SGE. Tegas dan bertanggungjawab dalam kerja.

Soleha, isteri Amiri. Hanya sedikit diceritakan di hujung novel.

Watak-watak lain seperti anak-anak Saif dan Atikah, Suraish, Waqas dan Faizan. Anak Saifullah Sr. dan Wardah,Syuwaikh.

Watak Kamaruzzaman atau Zaman pada asalnya luhur serta menjadi contoh kepada Saifullah. Namun terjebak dengan kumpulan kongsi gelap Yakuza dek kerana cintanya ditolak Atikah. Seorang yakuza yang paling lembik. Zaman menjadi orang harapan kepada Khairul Anuar, juga rakan sekolah mereka (MATRA) namun merupakan pelajar bermasalah dan dimusuhi Zaman dan SAifullah. Sering membuli pelajar lain, mengedar dadah dan vcd lucah seterusnya menjadi ketua kepada kongsi gelap Homurodama. Terlibat dengan penyeludupan senjata api, rompakan bersenjata dan peras ugut.

Tema.

Terasing membawa tema persaudaraan Islam (Ukhwah Islamiah) yang utuh antara seorang sahabat dengan sahabatnya yag lain. Persaudaraan ini dilakarkan dengan hubungan akrab Saifullah dan Zaman sejak dari bangku sekolah dan mereka saling sayang-menyayangi dan mengaharap titpan doa agar terus dijalan yang betul.

(“ Janji pada aku dua perkara” Zaman mengepal penumbuk dan mendekatkannya pada dada kiriku.“ Pertama, ingati aku dalam setiap doamu”Hati aku tiba-tiba rasa sebak. Sinaran mata Zaman, dan sentuhannya kepadaku membuatkan aku terasa seperti dia sedang meluahkan satu harapan yang teramat besar kepadaku.“ Kedua?”Zaman menarik nafas sebentar. “ Kedua, kalau aku jatuh, hulurkanlah tanganmu kepadaku, bila aku bengkok, kau luruskanlah aku”m/s 4 b25)

Cinta juga melatari novel dimana kasih sayang antara suami dan isteri ditunjukkan sebagai kasih sayang yang absalut. Saifullah amat menyayangi Atikah begitu juga sebaliknya. Persekitaran cinta itu tidak dihad kan kepada satu dua keadaan sahaja. Perasaan itu dibiar memugar dalam keluarga mereka dan dipertonton kepada anak-anak. Ini penting kerana si bapa haruslah menunjukkan kepada anak-anaknya siapa yg patut mereka sayang (ibu mereka dan sesudah berkeluarga isteri-isteri mereka). Namun kadang kala tema di tonjol terlebih-lebih sehingga membuatkan pembaca berasa lemas dan bosan kerana pengngulangan dialog dan adegan yang meleret-leret.

Tema kekeluargaan menjadi isi novel ini juga dan seolah-olah hanya keluarga ini sahaja yang menjadi watak-watak utama dalam terasing. Terasing adalah keluarga Saifullah dan keluarga Saifullah adalah Terasing. Sementalahan Saifullah dan ipar duainya sahaja yang mempunyai jawatan yang penting-penting sepanjang novel ini(i.e. pensyarah kanan, peguam yang berkawan dengan Peguam Negara, ketua pasukan elit, pemilik syarikat dan orang kaya)

Teras kepada terasing merupakan da’wah dimana setiap tindak tanduk watak-wataknya pasti akan dikaitkan dengan da’wah. Walaupun terkadang tema ini disurahkan dengan begitu panjang lebar namun tidak punya isi-isi yang mantap dan berbentuk lebih ilmiah.

Plot.

Peringkat pendakian cerita.

Novel ini dimuqadimahkan dengan bentuk prolog dimana cerita Saifullah dan Zaman bermula sejak dari bangku sekolah lagi. Mereka sudah berjanji akan menjadi sahabat sehingga bila-bila dan akan membantu satu sama lain selagi mampu. Selepas beberapa tahun melanjutkan pelajaran Saifullah terputus hubungan dengan Zaman. Pelbagai persoalan timbul sehingga Saifullah bermimpi semula akan janj-janjinya terhadap Zaman. Kemudian cerita berterusan dengan babak-babak bahagia keluarga Saifullah sehingga babak cubaan bunuh Saifullah.

Klimaks.

Puncak penceritaan novel ini bagi saya bermula lewat adegan pertempuran antara Khairul Anuar, Zaman,Amiri dan Saifullah. Pada peringkat ini saya berasa sedikit bosan kerana sekali lagi babak ini sengaja dipanjang panjangkan. Selaku seorang ketua kongsi gelap yang ‘berprestij’ takkan teragak-agak membunuh. Mereka pastinya sudah terlatih untuk mempunyai hati yang cukup kering dan tak kan terbawa-bawa dengan kata-kata mangsa serta teragak-agak dalam bertindak. Babak bergaduhan ini dicerita sepenuhnya dalam 2 bab iaitu bab 10 dan 11. Ketika ini lha segala-galanya terzahir dan siapa sebenarnya yang berselindung di sebalik Homurodama.

Peleraian.

Setelah tahap klimaks, novel ini mengalir ke tahap peleraian dengan tertumpasnya Khairul Anuar dek tangan Zaman sendiri. Segala-galanya telah selesai dan terjawab dimana pihak SEG sendiri telah memecahkan kod cip komputer milik Homurodama. Zaman juga digugurkan daripada semua pertuduhan kerana bekerjasama dengan pihak pasukan keselamatan. Berlaku beberapa kejadian yang agak pelik dimana amat mudah kes ini dipadamkan dari rekod sedangkan Zaman pernah terlibat dengan banyak kes berat. Sekurang-kurangnya Zaman perlulah disabitkan dengan beberapa kesalahan lain bagi tidak menimbulkan syak terhadap kes ini. Namun Zaman terus bebas dan boleh melawat sekolahnya semula sempena majlis alumni.

Penutup.

Mereka sekeluarga gembira kerana semuanya selamat dan kehidupan kembali sperti sedia kala. Novel di sudahi dengan epilog kenangan malam pertama Saifullah dengan Atikah. Usaha yang berani oleh Langit Ilahi tetapi tidak terlalu terperinci mungkin kerana menjaga batas-batas khalayak pembaca.

Latar tempat.

Secara umumnya novel ini berkisar sekitar beberapa tempat yang dinyatakan secara jelas dan tidak jelas. Satu di utara di mana tempat persekolahan semua watak dalam novel ini iaitu MATRA. Negara Jordan juga dinyatakan tempat belajar Saifullah ketika universiti serta bebrapa tempat lain seperti Petra. Kemudian Jepun tempat Saifullah sekeluarga bercuti. Hanya dua tempat dinyatakan secara jelas iaitu Nagano dan Tokyo. Kemudian kawasan sekitar Johor tempat Saifullah sekeluarga tinggal dan bekerja. Teluk Danga ternyata signifikan bagi menggambarkan Johor dan hanya itu sahaja tempat yang dinyatakan.

Latar masa.

Masa tidak dinyatakan dengan begitu jelas tetapi secara umumnya boleh difahami berlaku sekitar hujung 90 an dan ke atas.

Gaya bahasa.

Bahasa formal dan tidak formal di gunakan dalam cerita ini. Namun kebanyakannya formal. Ayat-ayat al-Quran juga diselitkan setiap kali ada perkara yang signifikan berlaku. Langit ilahi dilihat cuba bermain-main dengan bahasa dan dilenggang-lenggok kan dam bentuk falsafah.

(Mungkin sebahagian manusia akan menyatakan itu satu propaganda. Memang, aku sendiri tidak mempercayai bahawa kejadian itu didalangi oleh orang ISLAM. Malah, kalau orang ISLAM sendiri yang melakukan, aku percaya bahawa mereka adalah orang ISLAM yang telah dibeli oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi, kerosakan ummat ISLAM itu sendiri bukan satu propaganda. diselitkan. Ms 79 baris akhir)

Ada juga frasa yang tidak begitu saya fahami maksudnya sepntas lalu namun sebenarnya unsur paradoks cuba diselitkan

(“ Aku sahabat kau. Tapi kau lakukan aku sebegini” Aku menunjuk ke bumi. Rasa kecewa yang menggunung tinggi. Ms 108 b-17)

Tuesday 9 June 2009

Diskusi Teh tarik-Mari Berfikir

Saya kini sedang menyiapkan testimonial kepada sebuah novel karangan seorang teman. Jika diberi izin barangkali saya akan paut kan sekali novel itu bersama dengan ulasan dan kritikan saya terhadap penulisan tersebut.


Saya juga berharap pengunjung-pengunjung blog sampah ini akan turut bersama-sama saya berkongsi ilmu dan pendapat. Perlu diingatkan saya juga seorang pengulas tidak berlesen. Saya tidak punya sebarang kelayakan untuk layak digelar pengkritik sastera. Saya hanya membandingkan novel tersebut dengan novel-novel lain yang sempat saya baca. Maka segala pandangan dan kritikan saya bebas untuk dikritik semula.


Saya juga masih mencari-cari ide mungkin diberi ruang bersama-sama dengan teman-teman lain mengisi satu slot untuk kita bersama-sama berbincang dan bertukar-tukar pandangan tentang novel yang akan saya berikan testimonial ini. Mungkin sejam atau dua kita duduk sambil minum syai. Tidak ada yang formal. Hanya diskusi teh tarik sahaja.