Sunday 29 November 2009

BTN-Biro Tatatertib Nazi




Berita mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN) kembali hangat diperkatakan akhir-akhir ini berikutan Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan boikot terhadap kursus tersebut di negeri Selangor. Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya amat setuju dan tidak setuju dengan Kerajaan Negeri Selangor ini. Saya akan terangkan mengapa saya setuju dan tidak setuju.

Ketika minggu kedua di kampus induk UIAM Gombak, kami pelajar-pelajar baru dikehendaki menghadiri kursus pra-BTN yang diberi nama kursus jati diri. Seperti mana nama kursus tersebut, objektif utama kursus pastilah ingin mengukuh dan meningkat jatidiri dan integriti peserta-peserta kursus. Saya amat-amat setuju dengan objektif asal program semacam ini. Bayangkan dengan keadaan indek rasuah negara yang semakin tahun semakin menyesakkan nafas (yang terbaru Malaysia jatuh dari anaktangga 47 CPI 2008 kepada anak tangga 56 CPI 2009), kursus seperti ini amat-amat relevan kepada semua pihak. Namun apa yang saya tidak setuju pula adalah, mengapa kursus-kursus seperti ini tidak pernah pula menerang situasi sebenar indeks persepsi rasuah seperti ini.

Apa yang terlalu terang lagi bersuluh ialah memeberi pandangan yang teramat-amat negatif kepada parti-parti politik selain UMNO dan Barisan Nasional (UBN), kaum –kaum selain Melayu dan keadaan umat Melayu yang katanya sudah kehilangan “kuasa”. Pernah suatu ketika sebelum program itu bermula, satu pengumuman dibuat menyatakan para pelajar bukan Melayu di arahkan meninggalkan dewan Audiotorium Utama UIAM. Mengapa sampai begini. Apakah masyarakat bukan Melayu tidak berhak mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam negara mereka sendiri ataupun ada sesuatu yang ingin disembunyikan dari mereka.

Seminggu sebelum terbang ke Jordan pun saya dikehendaki menghadiri kursus BTN di sebuah kem di Klang. Pada awalnya ketika taklimat kursus sememang kata-kata manis dari penganjur program berkenaan tujuan kursus ini di jalankan. Antaranya, sebelum meninggalkan Malaysia,peserta kursus di didedahkan dengan hak-hak warga di luar negara,sistem pemerintahan Malaysia,pengenalan kepada kepada Perlembagaan Persekutuan(FC) dan aktiviti-aktiviti fizikal bagi memastikan para peserta kursus sihat tubuh badan sebelum ke luar negara. Sekali lagi saya setuju dengan objektif asal program ini yang bertujuaan memberi pendadahan asas kepada warga yang bakal menjadi duta-duta kecil ketika di luar negara. Malahan seluruh warga wajib tahu apa yang terkandung di dalam perlembagaan undang-undang negara.



Kusangka panas hingga ke petang ,rupanya hujan ,ribut dan banjir kilat di tengahari. Kursus yang digambarkan indah tadi menjadi wadah kerajaan UBN khususnya mendoktrin para peserta dengan ceramah-ceramah yang sememangnye berbentuk perkauman,fasis dan ekstrim. Episod 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam negara diulang tayang dan diberikan penilaian yang negatif tentang hubungan antara kaum di dalam Malaysia. Tambahan pula ketika itu tsunami politik telah melanda Malaysia pada 8 Mac 2008 menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (Selangor,Kedah,Pulau Pinang dan Perak)dan Pilihan Raya Kecil Pematang Pauh is just around the corner. Maka pelbagai kisah dan mistik di surah kan kepada kami tentang kuasa Melayu yang telah hilang dan bakal hilang lagi dek kerana tsunami Politik tersebut. Itu sahaja lah yang menjadi pengisian kepada modul-modul ceramah dan latihan dalam kumpulan kami. Malah ada penceramah yang tergamak mengatakan “ Nasib baik kamu semua ni Melayu. Kalau tidak saya pun tak tau nak cakap apa”.

Mungkin kebanyakan peserta akan ke Timur Tengah dalam kem kami, maka “penekanan terhadap agama” amat-amat dititikberatkan. Kami perlu awal ke surau,kami perlu memakai songkok disurau dan tazkirah selepas solat Maghrib dan Subuh. Malangnya penekanan terhadap agama tersebut tidak langsung dipanjangkan terhadap hal-hal yang lain seperti bahaya rasuah, bahaya penyelewangan harta awam, bahaya ketidakadilan sistem kehakiman, kezaliman penahan tanpa bicara dan dosa membunuh manusia dengan C4 ooops.

Perkara-perkara ini sama penting malah merupakan cerminan agama seseorang itu. Amat janggal lah sekiranya seseorang itu dikatakan kuat beragama (rajin ke surau,tidak berzina,tidak minum arak,tidak mencuri) tetapi tidak pula melihat perkara-perkara yang dinyatakan tadi sebagai dosa pun.

Bagi saya Biro Tata Negara harus menghentikan program-program ceramah atau modul-modul LDK yang berbentuk mendoktrin peserta membenci kaum dan bangsa lain. Jika memang wujud ketegangan kaum sepeti yang dinyatakan, pemerintah seharus menjadi orang tengah yang diharapkan menyelesaikan permasalahan tersebut. Bukan menyimbah petrol ke arah api yang sedang menyala itu. Beri penekanan yang lebih terhadap hak-hak warga di luar negara, peranan kedutaan Malaysia ke luar negara dan lebih berkesan jika dapat di adakan sessi dialog bersama bekas-bekas penuntut Malaysia di luar negara.

Memang saya akui Melayu dan orang Islam akan terus kehilangan kuasa sekiranya kuasa berupa amanah yang diberikan supaya mentadbir urus negara disalahguna sewenang-wenangnya. Bukan sahaja bangsa lain, malah orang Melayu sendiri akan meluat dengan telatah penguasa yang semacam ini. Kalau sebentar tadi ketika program Aidil Adha di Irbid ini saudara Hilal Asyraf bertanyakan mengapa tamadun agung Daulah Islamiah yang suatu ketika dahulu menguasia 2/3 dunia boleh runtuh ini jawapan saya. Mana –mana tamadun pun akan musnah kerana korupsi,kronisme dan pecah amanah. Kalau pihak BTN sendiri menafikan wujud unsur-unsur perkauman di dalam kursus-kursus mereka dan menafikan pemerintah yang wujud sekarang bebas daripada 3 perkara tadi, bagi saya ghonti kan lah. Bangkai gajah tak kan dapat ditutup dengan daun pisang.




Saya sebenarnya seronok berbual-bual dengan jurulatih-jurulatih BTN. Kebanyakan mereka merupakan veteran tentera dan saya sendiri ada pengalaman yang romantik tentang alam ketenteraan ini. Pakcik saya sendiri jurukatih BTN. Pesan saya kepada jurulatih-jurulatih ini (terutama Pak Aziz), biarlah kita berjumpa lagi selepas ini samada kerajaan yang ada sekarang sudah benar-benar taubat nasuha ataupun ditukarkan dengan kerajaan yang lebih baik. Saya tak sanggup lagi menjadi peserta kursus Biro Tatatertib Nazi.

Friday 20 November 2009

Saya Tidak Ingin Menulis...



Saya jarang menulis. Saya bukanlah berbakat dalam dalam bidang penulisan. Saya tidak pernah dapat A dalam karangan ketika di bangku sekolah dulu kecuali ketika peperiksaan-peperiksaan awam yang kita pun tidak pasti bagaimana skema jawapan sesuatu kertas itu di nilai. Jadi saya fikir lebih baik saya tidak menulis.


Sasterawan negara A.Samad Said pernah berpesan. Bukan kepada saya. Tetapi kepada penulis profelik terkemuka tanah air Faisal Tehrani (Labaika ya Faisal) yang berjumpa sendiri Pak Samad di Masjid Negara suatu masa dahalu. Pesan Pak Samad untuk menjadi penulis anda perlu ada lima (5) perkara:

1) Membaca

2) Membaca

3) Membaca

4) Membaca

5) Menulis


“Kalau yang kelima itu pon membaca Pak Samad?”, soal Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Haji Mohd Faisal b Haji Musa. “Kalau yang kelima itu pun membaca kamu akan jadi pembaca sahaja. Bukan penulis”, jawab Pak Samad.


Walaupun saya tidak ada ditempat kejadian sewaktu perbualan ini terjadi dan saya juga bukan pengkagum FT, namun saya percaya 100% apa yang Faisal Tehrani sampaikan melalui pesan Pak Samad tersebut. Seorang penulis harus lebih banyak membaca daripada pembaca. Jika tidak seseorang itu akan merapu-rapu atau meraban-raban seperti seorang yang disampuk hantu jembalang tanah. Kemudian orang yang dirasuk itu pula akan dirawat oleh seorang dukun yang tinggal dihujung kampung. Ketika proses rawatan tersebut, Tok Bomoh atau Pawang ini akan juga mengguna kan bahasa-bahsa yang tidak kita fahami atau tahu dari mana asal usulnya.

Daminit nama ibumu

Kaminit nama bapa mu

Aku rantai engkau dengan rantai Muhammad

Aku rantai engkau dengan rantai Lailaha illa Allah

Jadi seorang penulis yang tidak membaca akan menyampaikan sesuatu yang hanya difahami oleh penulis tersebut sahaja. Tidak lebih dari itu.


Saya menyatakan demikian kerana ada sesetengah penulis suka bercakap perkara-perkara yang biasa. Perkara yang hanya diulang-ulang. Setiap kali menulis tidak ada suatu fikrah baru. Akal jahat saya ini akan terus melabelkan penulis jenis ini sebagai malas membaca. Lebih malang tulisan yang dihasilkan terpesong dari sudut fakta kerana bukan dari sumber dan pemahaman yang sahih.


Kadang-kadang untuk menjustifikasi apa yang ditulis itu, dia masuk kan juga beberapa ayat Quran sebagai menunjukkan beliau seorang pejuang Islam sejati tanpa sesekali cuba mencari di dalam mana-mana tafsir-tafsir mu’tabar tafsiran sesuatu ayat yang disertakan tadi. Jadi ayat itu tidak berkembang. Tidak mampu disampaikan secara ilmiah.

Saya bukan lah pakar namun sekiranya saya ingin memilih bahan bacaan saya suka penulis yang membawa sesuatu yang baru. Tidak perlu terlalu berat namun cukuplah kalau saya terbaca tulisan itu ia dapat membuat saya berfikir dan seterusnya membuat saya berminat untuk mencari bahan-bahan rujukan lain mengenai topik yang ditulis tadi. Disebabkan saya juga memiliki bahan bacaan yang terhad, maka saya fikir lebih saya tidak menulis.


Suatu ketika di dalam kelas General Principle of Law II sewaktu saya berada di Matrikulasi UIA di Petaling Jaya (saya memang rindu saat di matrik), guru saya Cik Nazirah (kami panggil Miss Naz)memulakan kelas pertama kami pada semester tersebut dengan sessi suai kenal. Setiap pelajar akan ke hadapan memperkenalkan diri masing-masing. Setiap pelajar menyatakan nama dan tempat tinggal. 2 soalan tadi tidak lah sesukar mana hendak dijawab. Kalau ditanyakan kepada adik saya,Jimi yang berumur 6 tahun itupun dia boleh jawab.


Namun soalan ketiga yang jarang-jarang ditanyakan di dalam mana-mana sessi taaruf ialah “Anda sedang baca buku apa sekarang?”. Kebetulan memang saya sedang membaca sebuah novel ketika itu. Hadji Murat” tulisan Leo Tolstoy penulis agung yang menghasilkan magnum opusnya “War and Peace” berasal dari negara komunis Russia. Namun malang seribu kali malang saya gagal menghabiskan novel tentang pejuang pembebasan Chechnya itu . Saya akan mencari semula novel tersebut. Dan jika saya jumpa dan mampu saya khatamkan Hadji Murat,saya akan ke Yasnaya Polyana, mengambil berkat Tolstoy di kuburannya.


Bila agaknya akan ada penulis sehebat Leo Tolstoy versi negara Islam seperti Malaysia. Ooops saya lupa. Penulis Malaysia tidak gemar menulis perkara yang berat-berat terutama yang menyentuh Bung-bung besar di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Nanti tidak boleh carik makan. Ataupun masuk I.S.A. Kalau mahu cepat kaya, tulis lah mengenai 1 Malaysia,rakyat didahulukan pencapaian diutamakan atau Islam Hadhari ataupun kisah cinta-cintun picisan. Tidak ketinggalan buku-buku motibasi “Siapa mahu jadi lekas-lekas kaya” Prof. Dr. Haji Ustaz Al-Kelentongi dari Universiti Kangkong. Kepada remaja Islam dan ingin bercinta ala ala lagu Kasih kekasih In-Team ,jangan risau carilah novel-novel cinta Islam yang banyak bercambah-cambah dipasaran sekarang. Dijamin masuk syurga.


Disebabkan saya tidak mahu menulis tentang Islam Hadhari, 1 Malaysia Rakyat di dahulukan pencapaian diutamakan,atau “Siapa mahu jadi lekas kaya”,atau menganut mazhab In-team, maka saya fikir lebih baik saya tidak menulis. Saya akan biarkan penulis-penulis muda yang lain menjadi kaya dan bertambah kaya walaupun mereka itu pada hakikatnya hanya membebel dan meraban seperti dirasuk jembalang tanah.

Sunday 1 November 2009

Dr MAZA hadir ke mahkamah


Seluruh warga yang punya tanggungjwab. Para pendokong kebenaran dan keadilan sepatutnya bersama-sama solidariti ini membela sesiapa juga yang dizalimi. Bersatulah. Sebentar tadi Dr Asri telah menghadirkan diri di Mahkamah Syariah.

Namun malangnya sesudah dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi tadi, pertuduhan ke atas beliau masih belum dilakukan. Beliau memberikan kerjasama dengan pihak polis dan mahkamah hadir ke mahkamah namun pihak pendakwa pula yang tidak kunjung tiba.

Seperti yang saya jangkakan pagi tadi Dr Asri juga percaya wujudnya “tangan ghaib” yang menjadi tok dalang kepada episod penangkapan ini. Namun pujian harus diberikan kepada semua wakil NGO (antara yang hadir Zainah Anwar dari Sister In Islam) termasuk wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat Yb Zuraidah (Ketua Wanita Keadila) dan juga Yb Saari Sungib (ADUN Ulu Kelang) dan orang-orang perseorangan yang hadir memberikan sokongan.

Teruskan bersatu. Siapa bilang warga tidak boleh bersatu walaupun yang ditangkap adalah seorang bekas mufti.

Sekelumit tentang mahasiswa...

Dr Asri Zainal Abidin diberkas pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis sejurus selepas beliau selesai memberi kuliah bulanan di Taman Seri UKay di Ulu Kelang. Beliau dipercayai ditahan atas tuduhan mengajar tanpa tauliah.

Saya bukan pengkagum Dr Asri tapi saya punya rasa hormat terhadap beliau kerana beliau seorang yang berpendirian, seorang yang punya idealisme dan suka kepada pendekatan-pendekatan yang baru. Beliau berbakat dalam penulisan kreatif seperti sajak dan menulis lirik lagu. Walaupun ramai yang mempertikai kan kebolehan beliau dalam bidang perundangan Islam (Fiqh dan Usulfiqh) sementelahan beliaumerupakan seorang pelajaran jurusan Bahasa Arab di University of Jordan Amman Jordan, tapi persoalan itu masih boleh didebatkan.

Saya tidak lah ingin bercakap soal layak atau tidak layak beliau mengajar agama itu. Soalnya sekarang ruang bersuara dan memberi pendapat di dalam Malaysia perlu diakui dicengkam oleh tangan-tangan ghaib. Tangan-tangan itu kadang kala muncul dengan pelbagai rupa dan wajah tanpa kita sedari.

Cuba saudara-saudari bayang kan guru agama yang mengajar kitab-kitab mu’tabar ini pon dianggap sebagai bermasalah tidak hairan lah kes-kes jenayah mengalami peningkatan seperti mana yang dilaporkan di dalam parlimen.

Jadi apa relevannya permasalahan ini dengan mahasiswa? Selaku mahasiswa kitas harus sedar Malaysia bukanlah seindah yang kita gambarkan atau yang kita acapkali tonton dalam video yang ditayangkan setiap kali Maa’rad Thaqofi. Kita puny persoalan yang lebih besar dari sekadar mencari-cari seluar dan baju di bundle. Lebih besar dari soal muraqib akhwat.

Bagi saya, persoalan-persoalan besar ini harus sama-sama kita fikirkan selain daripada kempen-kempen (e.g. Ikhtilat sifar)dan syllabus MEKAP yang sedia ada. Kerana kita harus berhenti “membebel tentang Islam” tanpa membawa perkara-perkara yang lebih realistik untuk disampaikan ke tengah masyarakat menjadikan Islam ini terbiar hanya di Masjid-masjid,surau-surau ataupun kelas-kelas agama.

p/s: masih menunggu forum ISA di buat di Jordan.