Sunday 27 June 2010

Surat terbuka untuk saudara-saudara ku Ulama’ Muda.

Kehadapan saudara-saudara ku ulama muda. Semoga kalian berada di dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Bagaimana keadaaan saudara-saudara hari ini? Sudah mula menjalankan agenda perubahan dari dalam? Sudah mula menggerakkan parti yang dihuni oleh ribuan ulama’ itu yang agaknya selama ini tidur ? Kalau belum bergerak, eloklah bergerak sekarang. Perkara yang baik tak elok ditangguh-tangguh. Menurut berita 40 orang semuanya namun menurut berita yang satu lagi tidak sampai 40 pun. Adakah kerana 40 itu angka keramat sempena 40 hari Musa bermunajat tidak lah hamba tahu. Namun kalau betul 40 pun,izinkan lah hamba memberi sedikit pandangan. Anggaplah pandagan ini pandangan daripada adinda mu sendiri.

Saudara-saudara ku ulama’ muda.

Sedarkah kalian apa yang kalian lakukan ini. Adakah kalian berada di dalam keadaan sedar atau dalam istilah Al-Arqamnya "yaqazah" ketika menyertai parti itu. Dengan niat yang berkobar-kobar konon sebagai peluang untuk memberi kesedaran keagamaan dan kerohanian? Apa yang agamanya?Apa yang rohaninya? Satu parti yang sudah pon nyanyuk dek kerana usia dan dosa-dosanya kepada Islam dan bangsa Melayu itu sudah tak boleh diberi didikan agama mahupun didikan rohani lagi. Mana mungkin sorang yang sudah nyanyuk mahu di talaqikan dengan Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari itu. Tak kan nak diajar kepada orang tua tu Al-muwafaqat fi Usuli Shariah. Tak kan nak disumbat ke dalam telinga orang tua yang tak boleh mendengar dah pun dek kerana usia dan dosanya kitab Al-Ubudiah karangan Syeikhul Islam itu. Aduh. Sakit kepala hamba memikirkan hal ini. Apa yang saudara-saudara fikirkan tatkala menyerahkan borang-borang itu di hadapan puluhan wartawan kepada Pak Menteri tatkala Pak Menteri itu sendiri sarat dengan luggage yang pelbagai isinya.

Saudara-saudara ku ulama muda.

Mungkin saudara-saudara dapat rasakan bahawa parti itu harus ditegur dan diubah dari dalam. Kalian pasti memikirkan bahawa parti yang sudah sekalian lama berkuasa itu masih punya harapan dan peluang untuk menjadi baik. Seperti harapan Rahim Khan kepada Amir Jan untuk mengambil anak kepada saudara sedarah dengannya Hassan iaitu Sohrab yang sedang dimilik oleh para Mullah ketika era Taliban itu. Mungkin niat di hati ulama-ulama muda ini begitu. Alangkah naifnya pemikiran ulama-ulama muda ini berfikir. Seperti naïfnya Kay Adams ketika berbual dengan Michael Corleone saat Michael baru pulang dari bertualang di Sicily.

MICHAEL

My father's no different than any other powerful man

-- Any man who's responsible for other people. Like a senator or a president.

KAY

You know how naive you sound?

MICHAEL

Why?

KAY

Senators and presidents don't have men killed...

MICHAEL

Oh -- who's being naïve, Kay?

Mungkin senaif inilah pemikiran saudara-saudara ku. Bahawa orang-orang dalam badan pemerintah itu baik. Mereka menjalankan amanah mereka dengan betul. Mereka semua orang Islam logikanya mereka akan berakhlak dan beramal dengan amalan Islam. Apabila ditegur mereka akan mudah mengikut. Mereka akan patuh arahan dan cadangan kalian ulama-ulama muda. Para pemerintah yang katanya telah menawarkan kalian peluang itu akan menjadikan kalian ketua yang akan dipatuhi. Kalau adapun kesalahan di sana-sini pemerintah itu manusia tak lari daripada salah dan silap. Alangkah indahnya dunia ini.Tetapi ingatlah wahai saudara-saudara ku. Dunia yang diganjakan akan selalu nampak indah. Ganja di peti televisyen, ganja di Koran-koran, ganja di internet ganja di sekiling kita. Membuatkan saudara-saudara juga turut khayal dengan keindahan negara kita. Lantas saudara berfikiran untuk mengubah parti itu dari dalam? Benarkah begitu saudara-saudara ku? Kalau begitu benarkanlah hamba bersurah lagi.

Saudara-saudaraku ulama’ muda.

Sudahkah kalian lupa bahawa mereka yang melupakan sejarah akan hancur dengan mengulangi sejarah tersebut. Hitler telah cuba menyerang Russia. Napoleon sendiri pernah cuba mengganyang Russia. Pasukan Russia telah berundur sedikit demi sedikit. Sehingga tiba musim sejuk yang maha dahsyat akhirnya tentera Nazi terkandas. Walaupun ada yang mempertahankan tindakan Hitler ini bahawa bukanlah salah Hitler tidak mengambil iktibar daripada kisah Napoleon, tetapi cita-cita besar tanpa ada kesedaran sejarah dan strategi yang betul tidak akan berhasil. Mari kita soroti satu persatu sejarah parti yang saudara-saudara baru sertai itu.

Seawal penubuhannya, pengasas UMNO sendiri Dato’ Onn Jaafar sudah cuba merubah UMNO. Antara cadangan Dato Onn ialah agar keahlian UMNO dibuka kepada semua bangsa. Konsep 1 Malaysia yang dicadangkan oleh Dato’ Najib hari ini sudah pun terbayang oleh Dato’ Onn 50 tahun yang lalu. Namun apa terjadi kepada cadangan Dato Onn? Cadangan itu ditolak mentah-mentah. Dato’ Onn keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan partinya sendiri iaitu Independence of Malay Party dan Parti Negara.

Kita beranjak sedikit lagi kepada era Tunku. Saat itu para pemuda terutamanya Dr Mahathir sudah begitu lantang mengkritik Tunku yang katanya pro kepada Cina. Hingga terjadinya tragedi 13 Mei 1969, Malay Dilemma telah menyebabkan Mahathir dipecat daripada UMNO. Dek kerana mengkritik UMNO,Mahathir sendiri pernah ditendang. Malah dikatakan Mahathir pernah mendapat tempat di pentas-pentas PAS untuk berceramah. Tunku turun dan naiklah Tun Razak. Kerana kematian mengejut Tun Razak di London, bergantilah pula dengan Tun Hussein. Walaupun ada beberapa pembaharuan dalam dasar-dasar negara seperti DEB, FELDA tidaklah begitu signifikan pada UMNO.

Ketika krisis perlembagaan UMNO dan berakhir dengan pengharaman UMNO oleh Tan Sri Harun Hashim pada tahun 1988 sekali lagi integriti UMNO teruji. Team A yang dikepalai Mahathir Mohamad dan Team B yang bersama-sama dengan Tengku Razaleigh saling berbalah. Para veteran UMNO termasuk Tunku dan Tun Hussein Onn juga bersama dengan team B mengkritik pemerintahan Mahathir Mohamad yang dikatakan tidak mengambil kira pendapat para pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang lain dalam membuat keputusan. Alhasil, tertubuh lah Parti Semangat 46 yang bersama-sama dengan PAS menerusi Angkatan Perpaduan Ummah pada Pilihanraya Umum ke 8 pada tahun 1990. Tertubuhnya Semangat 46 adalah manifestasi kritikan dan perubahan yang gagal yang cuba dilakukan dalam UMNO oleh team B.

Sekitar tahun 70-an seorang anak muda dari sebuah universiti di lembah pantai mula menunjukkan sinar. Kelantangan beliau dalam memperjuangkan isu-isu marhaen membuat Mahathir Mohamad tertarik dengan anak muda ini. Demonstrasi besar-besaran yang bermula di Tasik Utara Johor Bahru, Baling Kedah dan Universiti Malaya telah menyebabkan anak muda ini bersama-sama teman-temannya di humban ke Kamunting. Anak muda yang begitu tinggi semangat Islamnya hingga tertubuh PKPIM dan ABIM bukan kecik anak. Cita-citanya tinggi. Semangatnya membuak-buak. Namun penyertaan beliau ke dalam UMNO meremukkan hati ramai pihak. Masakan tidak. parti yang menjadi kritikan anak muda ini sekian lama sehingga pernah dipenjarakan sebanyak dua kali kerana teguran terhadap parti tersebut menjadi pilihan beliau sebagai langkah untuk mengubah parti itu dari dalam. Anak muda itu bukan calang-calang manusia. Anak muda itu terdidik dengan persatuan, pertubuhan belia, usrah dan tamrin dari peringkat nasional dan internasional. Sedikit sebanyak jiwa berpolitik (urustadbir dan kepemimpinan ) itu sudah sebati dalam jiwanya. Ya saudara-saudara ulama’ muda pasti kenal dengan batang tubuh ini. Anak muda ini bernama Anwar Ibrahim. Satu lagi contoh moden buat mereka yang ingin merubah UMNO dari dalam.

Saudara-saudaraku ulama’ muda.

Anwar Ibrahim yang dulunya lantang berjuang dan menyertai UMNO untuk terus berjuang dilanyak, ditendang dan di telanjang akhirnya. Apa terjadi setelah Anwar di dalam UMNO? Terbelakah nasib penduduk Baling. Benar kalau ingin dibandingkan nilai harta yang di punggah oleh Anwar sepanjang dalam UMNO tidak lah semewah para pemerintah lain. Malah seusai dibebaskan pada tahun 2004, Anwar terpaksa meminjam wang daripada seorang ahli parlimen bebas untuk meneruskan kehidupan.

Sorotan sekali lalu sejarah ini menunjukkan dengan jelas parti yang saudara sertai itu tidak akan dan tidak mahu berubah. Umpama sebuah kapal yang sudah bocor di tengah-tengah samudera. Tidak mampu menahan lagi amukan ombak yang menggila. Sedari awal penubuhannya sehinggalah saat ini, United Malays National Organization itu tidak pernah berubah. Ya mungkin ada beberapa individu yang baik di dalamnya. Tetapi secara kolektif, individu-individu yang baik itu tidak mampu untuk berbuat apa-apa demi perubahan. Bukankah cenderung kepada mereka yang zalim itu suatu kezaliman juga. Malahan di dalam satu riwayat, menjahit pakaian mereka orang zalim juga dikira sebagai bersama-sama orang yang zalim. Orang yang memberikan jarum itu kepada sang penjahit pun di kira sebagai mereka yang cenderung kepada kezaliman. Apatah lagi menjadi ahli secara rasmi kepada parti berkenaan yang sudah menjadi public secret kezalimannya.

Saudara-saudara ku ulama’ muda.

Hamba tidak lah mengenali saudara secara dekat. Mungkin saudara-saudara memang pakar dalam bidang agama dan sering menjadi penceramah jemputan adik-adik di Jordan satu ketika dahulu. Mungkin juga saudara-saudara pernah menjadi pimpinan persatuan mahasiswa Malaysia Jordan. Namun tidakkah saudara sedari. UMNO itu bukan seperti persatuan pelajar yang saudara-saudara pernah sertai dahulu. Jauh panggang dari api. Persatuan pelajar hanya disertai oleh para mahasiswa yang programnya berkala,kadang kala terlalu rutin,kadang kala begitu naïf. Walaupun hebat tetapi masih bersifat lokal. Mampukah saudara-saudara dapat kekal survive dalam satu parti yang berbagai ragam dan gaya manusia itu. Tidaklah hamba berniat ingin menelanjangkan sifat jelik parti berkenaan kerana terlalu banyak. Tapi cubalah saudara-saudara luangkan sedikit masa, membaca buku-buku yang ditulis oleh ratusan penulis politik tanah air. Kajian-kajian ahli ekonomi tentang polisi-polisi yang diambil oleh pemerintah. Pakar-pakar pendidikan, bahasa dan sasterawan yang sudah begitu jemu dengan sikap yang ditunjukkan oleh sang pemerintah yang bagi mereka cukuplah 50 tahun negara di punggah harta kekayaannya. Cuba renung indeks trasparensi negara. Cuba renung kadar rasuah dalam negara. Cuba teliti dan tekuni nasib peneroka-peroka FELDA yang kini sudah kehilangan hampir RM 8 ribu juta. Al-Quran dan Hadis serta kalam ulama’ mu’tabar semata-mata belum tentu dapat menjawab persoalan-persoalan ini secara objektif. Bukan kah ini menjadi pegangan saudara-saudara sekalian. Agama itu tertegak di atas dalil dan nas. Bermakna apa juga pendapat, pandagan perlu di rujuk kepada sumber yang benar. Jika masalah fiqh rujuklah kepada Faqeh yang thiqah (yang dipercayai). Masalah Hadis rujuk kepada muhaddis yang thiqah. Tetapi bila tiba masalah politik, tidakkah prinsip yang sama harus digunapakai.

Saudara-saudaraku ulama’ muda.

Hamba hanya seorang saudara yang mungkin masih mentah. Bukan juga seorang pakar sains politik. Namun ini tidaklah menjadikan hamba seorang yang buta dalam melihat realiti, yang pekak untuk mendengar rintihan pelbagai pihak, yang bisu untuk menyampaikan pendapat. Bukan begitu wahai saudara-saudara ku. Cuma sedihlah di dalam hati kalau kepakaran dan kebolehan saudara-saudara dibazirkan begitu sahaja kerana hamba tidak dapat lihat dimana peranan saudara dalam parti itu. Mudah-mudahan Tuhan dorongkan hati-hati kalian agar menyedari hakikat dan risiko yang saudara-saudara sendiri ambil ambil disaat menyerahkan borang keahlian tersebut. Apa juga alasan dan hujahan saudara-saudaraku ambil tulisan ini sebagai timbangan dalam meneruskan apa juga yang saudara-saudara telah putuskan.

Segala kebaikan dan keburukan itu datang daripada Allah dan ditaklifkan kepada diri yang lemah ini. Semoga ada kebaikan daripada surat terbuka ini. Wallahu A’lam.

Yang benar,

Psychedelicmundo

Irbid Jordan

2 comments:

nashaislem said...

extremely well written. love it :) don't you want and try to get this published, haziq?

psychedelicmundo said...

Terima kasih.InsyaAllah.Kalau ada rezeki mahu juga.Cuma kena pergi kursus dulu la nampak nya.=)