Monday 22 February 2010

Andai aku punya Salina.......

Sebelum tidur saya sempat membelek blog seorang teman baru Pei Pan. Bercerita tentanggadis, kekasih lama. Kekasih ini dibidankan oleh Pak Samad Janggut. Saya pernah bersama dengan kekasih lama ini ketika tingkatan 1, tingkatan 5 dan ketika bulan puasa tahun sudah.





Kekasih ini tidak diswastakan kepada orang-orang atau tauke-tauke tertentu. Kekasih ini milik awam. Sesiapa juga yang tidak memilih bulu dan kulit semata-mata harus memiliki kekasih seperti ini. Kekasih ini walau di pandang hina oleh orang, namun hatinya sesuci embun pagi yang menitis di atas daun-daun hijau yang muda lagi segar.





Baginda Rasul pernah menyampaikankan pesan, kekasih seperti ini sementalahan hatinya baik, sanggup memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan kasutnya sendiri, Syurga juga balasannya di hari kemudian. Kekasih seperti ini namanya Salina. Kekasih ini bukan ustazah atau seorang doktor gigi. Kekasih ini adalah watak-watak mangsa keadaan yang punya sekeping hati yang mulia. Saya tujukan sajak ini untuk salina dan Salina di luar sana.



(p/s-terima kasih Pei Pan beri peluang saya melepas rindu pada Salina)





Kalau lah aku bertemu Salina

Tak akan aku sia-siakan nasib mu terbiar di lorong-lorong gelap

Menjadi makanan batin pemuda lahap

Berhidung belang berkeris tumpul panjang





Andai aku punya Salina

Dosa ku membiar kau di baham Abdul Fakar

Manusia rakus tidak berguna walau sekupang

Menyedut madu mu Salina namun tuba yang dipulang





Sekiranya aku punya Salina

Akan ku belai rambutmu yang hitam sehitam tanah pohon zaitun

Aku ku sisir ikal mu bagai sudah tiada lagi hari esok bagi ku

Akan ku hiaskan bintang kejora menjadi kerongsang kebayamu





Kampung Kambing saksi seksa mu Salina

Kilang air batu berhembus bagai sama mengeluh jerih mu Salina

Namun kau kembali kuat kerana Hilmy ( bagai darah dan daging mu sendiri)

Namun kau terus gagah kerana Nadihah ( bagai saudara kandung mu sendiri)





Tangan ini tak mampu mengait awan menjadi selendang mu

Atau mengukir istana batu layak Khazanah Petra menjadi singgahsana mu

Atau membina kota seteguh Jerash menjadi taman permainan mu

Namun andai engkau sesat di Wadi Rum tangan ini mampu memimpin mu





Aku pernah bertemu salina

Berkongsi hati berkongsi mimpi

Namun hilang diragut masa

Patah tak tumbuh hilang tak berganti





Andai salina datang kembali

Atau ku temu Salina yang lain

Hati ku tidak Gerhana lagi

Hamba bersumpah tiada yang lain

Monday 8 February 2010

Menunggu Penuh Debar...

Tidak sampai 24 jam dari sekarang, Mahkamah Pesekutuan,mahkamah tertinggi dalam Malaysia akan membuat keputusan bersabit kes Saudara Ir. Nizar Jamaludin VS Saudara Dr Zambry A. Kadir. To be or not be. Begitu lah agaknya yang sedang dikira, dimunajat dan didoa oleh kedua-dua Menteri Besar Perak Darul Ridzuan (1 Malaysia but 2 Menteri Besar). Walaupun saya bukanlah orang yang selayaknya bercakap soal politik Perak kerana pertamanya saya bukan orang Perak dan tidak punya LLB untuk bercakap soal keputusan mahkamah esok, jadi selaku orang-orang biasa, saya tidak terikat dengan apa-apa sekatan. Jadi kalau ada yang berasa kurang senang dengan tulisan saya ini, JawatanKuasa Displin PAS tak boleh lah nak kena kan tindakan terhadap saya huhu.






Sebelum saya becakap soal esok, rasa saya sudah ramai yang mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di negeri Perak ataupun ramai juga yang buat-buat tak tahu (tak begitu Dato’ Nazri). Saudara Ir. Nizar Jamaludin telah diberikan kepercayaan oleh semua ADUN Pakatan Rakyat untuk menjadi Menteri Besar walaupun PAS memiliki jumlah kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP. Namun ketokohan dan karismatik yang ada pada Saudara Nizar menutup mulut pelbagai pihak. Beliau bukan sahaja boleh diterima oleh orang-orang Melayu, malahan sokongan daripada masyarakat Tiong Hua dan India juga amat-amat memberangsangkan. Sungguhpun ada telahan daripada banyak pihak terutama daripada UMNO yang cuba mengapi-apikan keadaan ekoran pemberian sejumlah tanah kepada penduduk kampong tersusun yang majoritinya kaum Cina, ternyata fitnah yang dilemparkan itu tidak berhasil. Umum yang mahu tahu,sedar tanah-tanah yang diberikan adalah kepada penduduk yang sudah lebih dari satu generasi diam di situ. Bukan tanah-tanah baru yang diberi kepada chukong-chukong cina yang datang mahu bina kondo dan rumah-rumah banglo. Jadi tidak timbul masalah.






Kemuncak daripada pelbagai cemuhan dan kritikan yang datang daripada UMNO, satu rampasan kuasa telah dibuat yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri. Saya tidak mahulah menyatakan Perdana Menteri yang mana tapi saudara-saudari pasti ingat wajah beliau membuat pengumuman di kaca TV bersama dengan ADUN ala Ibrahim Ali berbunga riang menyeghonyeh di belakang PM. Adik saya yang paling kecil itu pun bertanya “Kenapa kepala dia shiny-shiny along” nak menunjukkan betapa riang, angkuh dan sombongnya mereka ketika itu. Sungguhpun dari segi undang-undang hanya ada tiga sahaja cara untuk mengosongkan jawatan Menteri Besar. Pertama Menteri Besar itu sendiri letak jawatan. Kedua undi tidak percaya yang mesti dilakukan di dalam dewan dan ketiga pembubaran Dewan Undangan Negeri. Sungguhpun undang-undang menyatakan sedemikian rupa, apalah erti undang-undang pada mereka yang tidak berhati perut ini. Maka bermula era pentadbiran Saudara Zambry A.Kadir ( bukan A.Malik ye Udet). Walaupun saya selalu nampak saudara Zambry ini mengambil anaknya waktu sekolah dahulu (kebetulan anak beliau satu sekolah rendah dengan saya), tak tersangkalah oleh saya dia akan menjadi MB Perak pada tahun 2009. Kalau saya tahu, sebelum UPSR saya dah isi borang UMNO.






Angin rebut dan sepoi-sepoi bahasa pun mula silih berganti di Perak. Pelbagai kisah berjaya dinukilkan sepanjang pemerintahan kudeta tersebut buat renungan generasi akan datang. Antaranya, mengetahui Pakatan Rakyat masih lagi punya majoriti dalam dewan mereka telah bersidang di bawah pokok dek kerana DUN dikunci. Tidak pernah terjadi dalam sejarah dunia, ada manusia yang mengunci DUN. Malaysia memang suka menempa rekod-rekod yang memalukan seperti ini. Saudara Nizar pun tidak kurang hebatnya. Sebaik sahaja kawasan Bukit Gantung kosong ekoran kematian Ahli Parlimennya, saudara Roslan Shahrom, sekali lagi Nizar membuktikan beliau masih menjadi favorite rakyat apabila memenangi pilihanraya kecil kawasan berkenaan dengan majoriti yang besar. Terduduklah kaki-kaki konspirator yang cuba memalitkan tuduhan derhaka dan kuda Cina kepada Nizar.






Nizar telah memfailkan kepada mahkamah dan meminta mahkamah membuat keputusan siapa MB yang sah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telang membuat keputusan bahawa Nizar lah MB yang sah. Namun Zambry telah membuat rayuan dan esok keputusan Nizar VS Zambry akan diketahui. Kalau Nizar menang pasti bunyi headline dalam Utusan berbunyi begini “Zambry gagal teruskan cita-cita perjuangan rakyat”. Telahan saya lah. Saya bukan ketua editor di Utusan Malaysia. Namun apa pun keputusan esok (pagi ini), sudah ada yang membuat beberapa ramalan. Antaranya wartawan kegemaran saya Pak Sayuti Omar dalam blognya mengatakan Nizar tidak akan menang memandangkan mahkamah kini memanag milik pemerintah. Begitu juga guru saya Dr. Aziz Bari. Beliau berpendapat Perak akan lebih kucar kacir jika Nizar menang. Kerana banyak keputusan yan telah di buat Zambry sepanjang beliau menjadi MB termasuk meluluskan belanjawan 2 jam Perak 2010. Ini akan menggoyahkan keyakinan para pelabur yang sudah pun memulakan urusniaga mereka sejak Zambry memerintah.






Saya juga berpendapat sedemikian rupa. Kita harus akui, Pakatan Rakyat sememangnya sedang mengalami kecederaan yang serius. Terjahan kasar daripada pelbagai pihak menyebabkan Pakatan Rakyat gagal berfungsi dengan baik. Ditambah pula dengan faktor dalaman apabila beberapa munkee-munkee yang mula bersuara dalam PR seolah-olah menunjukkan PR sedang kucar kacir. Sehebat-hebat Wayne Rooney pun kalau sudah ditackle sampai nak jalan pun terhencut-hencut pasti tidak akan mampu menjaringkan gol. Adalah lebik baik ADUN,MP dan semua ahli PR melakukan gerak kerja yang lebih drastik di kawasan masing-masing. Saya nyatakan lebih drastik bagai mahu runtuh dunia ini. Kerana serangan ini bukan sekadar serangan meriam buluh. Ini serangan bom nuklear. Jalankan lebih banyak program penerangan. Buat checklist tentang manifesto yang masih belum terlaksana semenjak 8 Mac 2008 yang lalu. Lupakan projek-projek padang golf (ooops sori Dato Zaharin) yang cuba nak dibolot buat masa ini. Pastikan mereka yang layak mengundi sudahpun berdaftar. Pastikan setiap rumah dalam kawasan masing-masing pernah mendegar dan kenal YB-YB mereka. Jangan tunggu pilihanraya. Ingat kita hanya punya setahun lagi masa untuk PRU 13. Sekiranya PR masih lagi gagal dalam meyakinkan rakyat bahawa merekalah “Government In Waiting”, percayalah sesuatu yang buruk akan berlaku. Rakyat akan berpendapat, kalau negeri pun mereka tidak dapat urus dengan baik inikan pula Malaysia. Kita memahami kalau media arus perdana memainkan pelbagai jenis serangan yang bertubu-tubi. Namun jika PR gagal dengan serangan ini, bermakna PR masih belum layak untuk memerintah. Kerajaan yang baik bukan sahaja kerajaan yang baik urus tadbirnya tetapi juga kerajaan yang kuat menghadapi segala macam mehnah (ujian) dari luar dan dalam. Bukan sekadar menunding jari menyalahkan si polan dan si polan.






Soal-muzakarah dengan UMNO, isu nama Allah, demonstrasi SEDAQ dan perbicaraan Anwar Ibrahim tidak harus dijadikan alasan untuk bersikap defensive. Susun gerakan massa agar isu-isu yang timbul ini tidak meleka parti aktivis. Kita tahu ini semua diversion. Para pimpinan PR bukan calang-calang manusia. Kalau nak dibandingkan dengan UMNO BN jauh lebih tokoh pemimpin-pemimpin ini. Namun para pedokong perlu ingat, kita tidak pula harus meletakkan 100% tanggungjawab pada pimpinan. Mereka tidak akan larat membawa agenda ini dengan sekadar ceramah dan ceramah. Ali Shariati dan Ayatollah Khomeini memang menjadi artikek dalam Revolusi 79 Iran. Namun rakyat tidak pula berlepas tangan membiarkan dua tokoh itu bekerja sendiri. Para mahasiswa, ahli politik, kaum buruh, para petani dan rakyat kebanyakan juga sama-sama bergerak sehingga terhambatnya Shah Iran dari Tehran. Ini semangat yang perlu disemai dan dibumikan oleh pendokong Reformasi. Kita sudah tidak punya banyak masa.






Saya sayang negeri Perak seperti saya sayang tanah tumpah darah saya juga. Di negeri inilah saya boleh katakan saya membesar. Kurang lebih 5 tahun saya bersekolah di Perak. Negerinya aman, tenang. Sibuk. Masih sibuk. Tapi ada ciri-ciri atestika yang masih dikekalkan. Bangunan-bangunan lama yang masih digunapakai di sekitar pekan lama terus lagi berdiri kukuh. Ipoh sebagai contoh masih lagi bandar yang klasik dan penuh dengan nila-nilai sentimental. Siapa yang tidak percaya tontonlah Sepet dan Gubra. Cinta saya juga berada di Ipoh. Jadi saya ingin melihat Perak kekal stabil. Saya akan berada di depan laptop menanti keputusan esok pagi dengan penuh debaran.