Thursday 18 March 2010

Penulis muda...




Samad tehenti seketika di tangga batu pejabat surat khabar tersebut. Tangga batu yang punya lima anak tangga itu diperhati cermat-cermat. Dia terlihat putung rokok yang sudah dipijak betul-betul di tepi anak tangga yang pertama. Diambil putung tersebut dan dibuang ke dalam tong sampah yang sudah sedia ternganga. Tangannya ditepuk-tepuk bagi menghilangkan sisa-sisa debu. Baju putihnya di belek-belek kalau-kalau tidak kemas. Sebelum meneruskan langkah, dia meletakkan tangan di atas dadanya yang berdebar-debar. Rasa-rasa mahu terkeluar jantungnya yang seketul itu. Samad meneruskan langkah dan masuk ke dalam pejabat. Bunyi typewriter dan asap rokok segera ditangkap oleh telinga dan hidung Samad.






Di dalam pejabat para petugas sedang sibuk dengan hal masing-masing. Seorang budak pejabat berbaju kelabu taik anjing sedang menyapu sampah dan mengosongkan kotak-kotak abu rokok. Ada dua orang peon sedang bercakap dengan telefon. “Apa mau?”, sergah budak pejabat. Samad sedikit meloncat apabila ditanya soalan yang tiba-tiba itu. Hampir-hampir dia terlepas kertas-kertas dari pegangannya. “Sssaya mahu berjumpa dengan Encik Rahim. Saya mahu menghantar rencana”, jawab Samad separuh terketar. “Duduk sini. Jangan sibuk-sibuk. Sini office tau. Bukan rumah awak”, jawab budak pejabat lagi. Kali ini agak tinggi nada suaranya. Samad menundukkan kepala sahaja tanda faham dengan arahan budak pejabat berkenaan. Dia duduk di atas kerusi kayu panjang betul-betul di hadapan pintu utama. Bunyi kipas berputar laju sedikit tenggelam dengan bunyi typewriter. Samad mengesat peluh di dahinya. Pejabat kayu itu agak berbahang. Ada dua orang pekerja yang hanya bersinglet. Peon yang tadi sedang bercakap dengan telefon kini sedang menulis sesuatu di dalam buku lejar yang besar seperti buku kira-kira taukeh Ah Leong pemilik kedai runcit di kawasan rumah Samad di Kampung Melayu. Samad kembali memerhati keadaan pejabat akhbar berkenaan. Lantai papannya mengeriot sedikit setiap kali dia mengalihkan punggungnya. Kurang lebih 15 minit menunggu namanya di panggil oleh seorang gadis dari pintu sebuah bilik pejabat sambil menggamit tangannya memanggil Samad.






“Samad Ismail. Mari”. Wanita itu barangkali pembantu ketua pengarang. Umurnya dalam 20an barangkali. Dadanya yang sudah berhenti berdebar-debar tadi kembali berdub-dab dub dab macam enjin motobot. “Selamat pagi tuan”, Samad menunjukkan kan tanda hormat pada ketua pengarang berkenaan sebaik memasuki biliknya. Gadis tadi keluar selepas meletakkan secawan kopi di atas meja ketua pengarang. “Selamat pagi. Duduk. Intan khabarkan kau mahu menghantar rencana”. Baru lah Samad mengetahui pembantu ketua pengarang itu Intan namanya. “Iya tuan. Saya ada menulis sebuah rencana dan sebuah cerpen”, jawab Samad sambil menganggukkan kepalanya. “Sudah berapa lama kau menulis? Pernah kau menghantar tulisan kau pada mana-mana akhbar?”, tanya ketua pengarang sambil menghidupkan rokok cap Ikan Emasnya. Asap rokok berkepul-kepul di dalam bilik berkenaan. “Pernah tuan. Saya pernah menghantar rencana saya pada syarikat ini dan 2 cerpen pada Straits Times tuan. Tapi tak pernah pun tersiar”, jawab Samad kembali. “ Aku sebenarnya setiap hari tidak kurang 10 cerpen aku terima. Tapi tak semuanya dapat ku baca. Kadang-kadang terbiar sehingga berdebu”, jawab ketua pengarang. Samad menundukkan kepala sambil menjeling plak nama di atas meja ketua pengarang. ‘ABDUL RAHIM KAJAI’. Terpampang nama ketua pengarang berkenaan. Samad terus tunduk membisu. “Sebenarnya tuan, saya mahu pohon kerja juga tuan. Kalau dapat menjadi budak pejabat pun tidak apa tuan”.






Rahim Kajai hanya tersengih. Rokok cap Ikan Emasnya disedut dalam-dalam. “Kau pernah sekolah?”, tanya Rahim. “Pernah tuan. Saya baru selesai Senior Cambridge tuan”, jawab Samad. “ Baik. Aku terima kau sebagai calon pemberita di sini dengan gaji $5. Aku akan letakkan kau dalam tempoh percubaan selama 3 bulan. Kalau kau rajin dan laporan kau bagus kau boleh terus di sini. Jika tidak aku tendang kau keluar”, tegas Rahim. Samad yang tadi malu-malu kucing dan menundukkan pandangannya terus berdiri dan menggengan tangan Rahim. Perkataan terakhir yang keluar dari mulut Rahim sebentar tadi tidak langsung diingatnya dek kerana mendapat pekerjaan itu lebih aula dan utama bagi Samad. Dia berjanji akan tekun dan bekerja keras. Entah berapa kali dia mengucapkan terima kasih kepada Rahim sebelum keluar dari pejabat berkenaan. Hatinya tadi yang umpama motobot kini berbunga-bunga riang bagai seorang gadis dipinang orang. Dia akan mula bekerja esok. Sememangnya sudah lama juga dia menganggur. Berita ni harus segera dikhabarkan pada ayahnya setibanya di rumah nanti. Samad terus menerus tersenyum sambil menunggu bas tiba.



*Cerita ini adalah rekaan semta-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang sudah mati atau pun masih hidup. Jikalau ada pun hanya kebetulan semata-mata.