Thursday 20 May 2010

Mengapa skeptik: Sessi kenal orang lain.


“Korang semua ni buat apa tengok blog-blog kapiaq ni”,saran seorang Tok Guru Tareqat kepada anak-anak muridnya.



“Buat apa kau letak gambar Karl Marx dan Lenin ni. Mereka beruda ni Yahudi tau tak”, tegur seorang pelajar kepada sahabat sekuliahnya.



“Buat apa ikut pendapat orang lain. Dalam Islam ni semua dah ada”, pesan seorang Ustaz dalam kelas.




Mungkin kita biasa mendengar dialog-dialog di atas. Mungkin daripada televisyen. Mungkin daripada Youtube. Mungkin dari teman-teman serumah. Mungkin juga kita sendiri pernah mengucapkan kata-kata sedemikian. Ada bercakap atas dasar Islam itu tinggi tidak ada yang tinggi daripadanya. Ada pula yang bercakap kerana marahkan Zionis yang sehingga ke hari ini membantai saudara-saudara kita di Palestin. Boleh jadi juga kerana mereka ini (atau kita sendiri) begitu allergic dengan manusia bukan Islam maka kita menyimpulkan apa juga yang datang daripada mereka adalah jahat dan apa juga yang jahat datang daripada mereka.




Penulis sendiri tidak gemar menyatakan benar ataupun salah semudah-mudah itu kepada sikap skeptic ini yang rata-rata wujud dalam kebanyakan masyarakat. Penulis sedar kita terkadang terlalu cepat melatah apabila datang sesuatu yang tidak sama dengan apa yang kita imani atau percayai selama ini. Boleh jadi juga sikap ini timbul kerana kita mempercayai Yahudi dan Nasrani ini sering kali membuat masalah kepada nabi-nabi kita seperti dinyatakan di dalam Al-Quran. Namun jika kita menyemak dan membaca, Al-Quran sendiri mengajar pembacanya bagaimana cara kita bersikap terhadap satu-satu tuduhan, pandangan, pendapat yang datang walaupun daripada seorang yang kita kenal fasiq. Malah Al-Quran juga mengiktiraf pandangan yang benar datang daripada seorang Penyembah Matahari seperti terkandung di dalam surah An-Namlu (27: 34):

Raja Wanita itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila masuk ke sesebuah negeri, mereka merosakkannya dan menjadikannya penduduk yang mulia menjadi hina dina. Sedemikian itulah mereka akan lakukan”.




Kata-kata ini keluar daripada raja negeri Saba’ ketika itu apabila mendapat surat daripada Nabi Sulaiman. Raja itu belum pun Islam. Namun padangannya terhadap raja-raja yang zalim sebelumnya dirakamkan di dalam Al-Quran. Malah dalam ayat sebelumnya juga raja tersebut mencemar duli dengan meminta pandagan bijak pandai di kalangan rakyatnya kerana beliau tidak mahu memberikan perintah sebelum mendapat nasihat. Di zaman tatkala belum wujud pun istilah separation of power itu, pantas sahaja raja memberikan apa-apa perintah kerana mereka punya kuasa yang mutlak. Namun tidak bagi Raja negeri Saba’. Nah! Jikalau semuanya yang datang daripada orang kafir itu salah, mana mungkin Tuhan memberikan kisah ini kepada Muhammad untuk kita teliti dan tekuni bersama-sama.





Dari sudut ilmu pengetahuan juga, ulama’-ulama silam dengan tradisi dan displin ilmu mereka yang tinggi tidak juga bulat-bulat “mengkafirkan ilmu” walaupun dari Yunani yang kita tahu syirik dalam akidah mereka. Zeus, Hera dan Apollo tidak membutakan mata Ibnu Sina dan Al-Ghazali daripada melihat beberapa mutiara yang datang daripada Socrates, Plato dan Aristotle. Falsafah, lojik dan mantik yang diajari oleh pemikir-pemikir Greek itu dikaji, disaring dan dimurnikan. Ulama Islam tidak bodoh sombong dengan menolak bulat-bulat ilmu dari Barat itu dan dengan megah mendabik dada “cukuplah Al-Quran dan Sunnah buat kami”. Bukan penulis merasakan Al-Quran dan Sunnah itu tidak cukup lantas kita perlu kepada sumber-sumber ilmu yang lain. Demi Tuhan, tidak. Tetapi dengan dorongan Ahsanul Kitab dan KhairulHadi itu lah yang membakar semangat umat Islam zaman tersebut berusaha mengoptimumkan akal mereka dengan mencintai ilmu dan berusaha mencerdikkan umat.




Sebagai contoh mudah Ibnu Sina tidak sahaja berasa sekadar cukup dengan ajaran gurunya Abdullah An-Natili. Malah pada usia yang muda beliau berusaha memahami mantik Aristotle dan membaca Isagoge karangan Porphry. Lantas apa yang dipelajarinya diuji dengan kritikan beliau terhadap mantik Aristotle. Cuba saudara-saudaraku bayangkan. Jika Ibnu Sina tidak ambil endah dengan kitab rujukan falsafah yang ditulis 700 tahun sebelum beliau lahir, mampukah beliau menjadi tokoh ilmuan. Beliau boleh sahaja hidup bersenang lenang lantaran jawatan bapanya sebagai gabenor Samaniah di Turki. Tetapi tidak. Beliau gigih mencari ilmu dan berhubung dengan ilmu walau dari mana pun ilmu itu berasal.




Begitu juga dari aspek sosial dan keadilan (tidak ada kena mengena dengan gejala sosial yang kita faham). Apabila sesorang itu punya faham sosialis dalam ucapannya atau aktiviti politiknya misalnya, jangan pantas kita melabelkan sesorang itu tidak bertuhan dan sebagainya. Kita juga sering di takut-takutkan dengan perkataan ini. Malah sering pula dianggap sebagai musuh negara barangsiapa cenderung kepada sosialisme ini. Namun sedarkah kita, dalam kebanyakan ideologi sosialis itu sudah pun jelas islamisnya. Setidak-tidaknya pada menentang kezaliman e.g. kaum buruh yang dipaksa bekerja lebih masa di kilang-kilang dengan bayaran yang tidak setimpal dan Islam mengajar agar di bayar upah seseorang itu sebelum kering peluhnya. Memandang semua manusia ini sama atau istilahnya perjuangan kelas dan penentangan kelas. Bukankah Nabi dalam khutbah terakhirnya memesan tidak ada beza kaum Arab itu dengan kaum bukan Arab. Tidak harus wujud kasta-kasta dalam masyarakat ini dan ini adalah pandangan alam Islam yang jelas tidak bertentangan pun dengan sosialisma.




Mungkin ada yang merasakan tulisan ini sebagai mendewa-dewakan barat . Tidak wahai saudara-saudarku. Beralih dari Ad-Deen (agama) dan memberhalakan sesuatu yang lain adalah satu bentuk agama juga apabila isme itu dipaksa untuk di anuti. Tidak ada niat penulis melainkan agar kita kembali mengadili dan membuka kembali suasana perbincangan agar menjadi budaya dalam hidup kita sehari-hari. Tulisan ini tidak berguna melainkan kita kembali menekuni wahyu pertama yang turun kepada Nabi kita iaitu Iqra yang membawa makna bacalah. Satu bentuk arahan agung supaya kita tidak sahaja duduk tanpa membuat sesuatu.




Sebagai kesimpulan, penulis ingin mengajak pembaca-pembaca sekelian merenung kembali kepada tajuk tulisan ini iaitu sikap skeptik yang sering timbul dalam diri masyarakat Melayu Islam sendiri yang kadangkala tidak bersikap adil pada ilmu. Kita sering menjadi korban visual apabila sering tewas pada gambaran-gambaran sesetengah pihak yang zalim pada pengetahuan lantaran sikap ego dan malas berfikir tumbuh subur dalam jiwa mereka. Segala-galanya diserahkan kembali kepada Tuhan yang memilik jagat raya ini mudah-mudahan ada kebaikan pada tulisan yang tidak seberapa ini.



Banyaknya udang banyaklah garam,

Laut terbentang beribu batu;

Mencari Ilmu hingga ke Syam

Jangan kau lupa tujuan hidupmu.

Saturday 1 May 2010

Muntah kuning: reaksi penolakan terhadap clan-clan sejenis.




Seorang ahli perniagaan kelas menengah (baca lessen F) , Yang Mulia. Halim Daud sedang mengemas-ngemas kan mejanya. Setiausaha mudanya cuti hari ini. Kerana itu beliau sedikit kelam kabut. Selalu setiausahanya itu lah yang akan mengemaskan meja itu selepas ia “berselerak”. Tiba-tiba telefon bimbit beliau berbunyi.

(Para penonton..ibu-ibu, bapak-bapak, semua yang ada di sini…nada dering lagu seorang penyanyi dangdut dari seberang)

Dato’ Issa: Hallo! Encik Halim. How are you. Ini Dato’ Issa cakap. Kau orang Pasir Dua Butir kan?

Halim Daud: Ye Dato’. Apa khabar? Bila pulang dari Bandung? Tak. Saya anak jati Kuala Pasir. Lahir di Jalan Ipoh. Diam di Jalan Klang Lama. Ada apa hal Dato’?

Dato’ Issa: Oh begitu. Jadi kau jangan datang Pasir Dua Butir.

Halim Daud: Kenapa Dato’? Apa salah saya?

Dato’ Issa: Arahan Sultan Aminurrashid

Halim Daud: Aiseh man.Yeke Dato’. Susah lah macam ni.

Dato’ Issa: Ya.

Halim Daud: Apa sebenarnya titah Sultan Aminurrashid.

Dato’ Issa: Sultan Pasir Dua Butir, Sultan Aminurashid menegaskan, sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri ini.



Halim Daud: Aiseh man. Ada lagi?

Dato’ Issa : Ada lagi. Jika sekiranya seorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di negeri Pasir Dua Butir ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini, titah baginda hari ini. Oleh itu kau antara orang yang aku banned.

Halim Daud: Damn it.

Dato’ Issa : Hey, you don’t talk shit, I repeat, you don’t talk shit I repeat for the third time, you don’t talk shit. Selepas ini PakcIk kau pun akan aku banned.

Halim Daud: Sorry Dato’. Habis macam mana dia nak mengajar di Universiti Lye Chi Kang? Dia mesti lalu Pasir Dua Butir juga. Lagipun memang la saya kadang tak puas hati dengan siak masjid and imam-imam yang sombong tu. Ada sekali tu, saya dapat pojek pasang lampu semua rumah ibadat negeri Pasir Dua Butir. Saya jumpa sami Buddha and Hindu, saya jumpa paderi Kristian saya jumpa orang masijd. Sami dengan paderi tu lagi soleh akhlaknya dari orang-orang masijd. Macam mana saya tak puas hati dengan undang-undang masjid ni.

Dato’ Issa: itu aku tak kira. Tapi tak apa. Aku akan sediakan pas masuk harian. Wajib cop tiap-tiap hari pada District Officer. Jangan ingkar..Kalau tak aku paksa Tan Sri Lye berhentikan Pakcik kau kerja dari Universiti.

Halim Daud: Oh My God. Please la Dato’. Saya nak cari makan. Pakcik saya pun nak cari makan. Susah lah Dato’ nak cop-cop ni. Saya dan Pakcik saya bukan ada masa Dato’. Lagipun Dato’ bukan tak kenal saya . Datuk saya, bapak Pakcik saya kan orang kuat Sungai Timah.

Dato’ Issa: Saya ada cakap pasal Sungai Timah? Saya cakap Pasir Dua Butir kan. Jangan masuk. Kalau tidak aku report.

Halim Daud: Sungai Timah dalam negeri Pasir Dua Butir Dato’.

Dato’ Issa: Sungai Timah dalam Pasir Dua Butir? Itu pembahagian kawasan ADUN lama. Sekarang aku dah tukar. Susah sangat nak menang kawasan tu. Aku pecahkan kawasan tu. Biar yang sokong pembangkang pergi ke kawasan lain.

Halim Daud: Ha? Betul ke ni Dato’. I tak tau pun.

Dato’ Issa: Ni nak bagi tau la ni.

Halim Daud: Tak kan tak ada notis seminggu dua Dato'?

Dato’ Issa: Notis ada dalam newspapers pemerintah. Awak jangan baca media-media baru ni. Penipu je semua tu. Mereka tu dah tak ada kerja, duduk rumah buat cerita macam-macam. Macam si Raja Putra tu. Bukan saya tak tau dia tu. Satu sekolah dulu di MKKC.

Halim Daud: Saye baca juga newspapers pemerintah Dato’. Tapi part nombor ajaib dengan kuda je.

Dato’ Issa: Baik-baik. Yang penting sekarang ni masuk Pasir Dua Butir lapor dulu. Jangan menderhaka.

Halim Daud: Ok. Saya report kat mana Dato’? Pasir Dua Butir dengan Kuala Pasir mana ada kastam atau imigresen.

Dato’ Issa : Niat dulu apa-apa hal. Niatnya begini. Sengaja aku masuk Pasir Dua Butir dan tak main politik di mesjid, kuil atau tokong. Ha macam tu caranya. Kalau nak cantikkan lagi tambah sikit kat belakang: kerana titah Sultan Aminurashid.

Halim Daud: Baik Dato’. Chivas Regal ada lebih Dato’? Saya nak buat parti sikit la.



Dato’ Issa: Chivas Regal? Saya tak minum. Saya tak minum. Ada nampak saya minum. Saya tak minum. Saya tak minum. Jangan percaya blog-blog ni. Saya tak minum. Ada nampak saya minum? Saya tak minum. Saya tak minum. Erk ekkk ekkk. Berrr berrrr….( bunyi seolah-olah keluar sesuatu dari mulut. Mungkin buih putih?

Halim Daud: Dato’,Dato’? Are You OK Dato’? Dato’?

Dato Issa: Eh sorry-sorry. Saya kena sawan la kejap tadi. Saya memang tak boleh dengar orang sebut-sebut nama liquor ni. Asal dengar je sawan saya mula lah datang. Yela consultant saya, UCPO tu dah pesan, kalau ada orang tanya bab-bab liquor ke perempuan ke kuda ke, jangan mengaku. Lagi bagus kita divert pula cakap orang lain yang minum, orang lain yang main perempuan, orang lain yang main kuda. Oh ya banyak je lagi dalam stor saya tu. Berapa barrel saya order itu hari. Mari lah datang ambil.

Halim Daud: Hush terkejut saya. Ingatkan Dato’ kena renjatan elektrik tadi. Sawan rupanya. Ha baik-baik. nanti saya datang. Pukul berapa Dato’?

Dato’ Issa: Macam biasa. Tapi datang jangan la sorang je. Bawak la sorang dua pemanis.

Halim Daud: itu janga risau Dato’. Macam lah tak kenal saya. Baik Dato’. Ini malam saya datang. Assalamualaikum.

Dato’ Issa: Waalaikumsalam.

Yang Mulia Halim Saad terus mengemaskan mejanya. Mujur malam ini malam minggu. Kalau nak pening-pening sedikit malam ini tidak menjadi masalah. Selesai mengemas suis lampu di padam. Dia memutar-mutarkan kunci motokar di hujungng jari telunjuk sambil bersiul-siul lagu dangdut artis negara seberang. Walaupun mulanya risau juga di banned oleh clan-clannya sendiri, tapi dia berasa lega. Kerana di negara ini segalanya mungkin. Yang Mulia Halim Saad tersenyum ketika menuruni tangga sambil mulutnya masih bersiul-siul.