Tuesday 6 July 2010

Talqin untuk Darth Vader: Satu renungan tentang kebaikan dan keburukan.




Kita sering risau dengan keburukan atau kebejatan yang berlaku depan mata kita. Ini merupakan fitrah manusia yang cenderung kepada perkara yang baik dan merasa resah dengan perkara salah. Melainkan manusia itu gila atau kurang waras, maka secara lazimnya kita akan menyenangi perkara yang tenang,indah, bersih dan tidak selesa dengan perkara yang salah,buruk dan kotor.






Tetapi kita tidak punya pilihan untuk kekal berada di dalam zon selesa itu. Sering sahaja kita akan diuji dengan perkara-perkara "tidak baik". Kita dimaki oleh pekerja kedai DVD tanpa sebarang sebab. Mereka yang tidak pandai beratur semasa berbaris di kaunter. Kita diejek dengan gelaran-gelaran tertentu seperti "Ya Sini" atau "Ya Kuri" atau "Saya suka kamu" (padahal kita tak kenal pun mamat yang sedang minum kopi sambil hisap Winston Light tepi jalan tu dan kita tak sepet pon macam cina atau orang korea) ataupun kita diuji dengan memiliki seorang pemimpin yang bodoh-bodoh alang.





Ya. Kita bukan manusia kalau kita tidak merasa jengkel di kelilingi oleh perkara-perkara di atas. Kita boleh bebuat endah tak endah sahaja namun pastinya dalam lubuk hati kita akan berasa meluat. Mungkin mereka yang tidak menghadapi keadaan sedemikian boleh memberi nasihat. "Sabar jelah Ajieq.Dah tak ada jodoh". Ataupun "Nak buat macam mana dah arab tu memang macam tu". "Kita ni kalau sabar, Tuhan balas dengan yang lebih baik tau" pun kadangkala kedengaran. Tapi apa pula sebenarnya yang perlu sama-sama kita fikirkan sesudah mendengar nasihat-nasihat tadi?







Cuba kita perhatikan apa tindakan kaum "rebellion" di saat mereka sudah tidak mampu lagi bertahan dengan sikap Emperor Plapatine yang gilakan kuasa. Dengan Lord Darth Vader sebagai orang kanan pemerintahannya. Lord Vader pada asalnya seorang mujahid Jedi yang berjuang untuk umat manusia tewas kepada dark side. Sesiapa yang ingkar dengan arahannya akan dicekik sehingga mati dari jauh. Confirm tak jumpa cap jari kalau team CSI: Miami cari. Dia cuba pula mempengaruhi anaknya Luke Skywalker untuk bersama dengan beliau memerintah dunia bersama-sama dalam Barisan Gelap. Bagi beliau dengan gandingan sedemikian, tidak ada wawasan yang mustahil untuk dicapai.







Namun adakah Luke senang menerima tawaran itu? Tidak kawan-kawan. Luke sedar yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata. Yang baik itu jelas dan buruk itu jelas. Beliau tahu yang mana intan dan yang mana kaca. Beliau menolak untuk bersama bapanya membina mahligai dunia untuk mengusaia jagat raya ini. Beliau tidak pun perlu bersusah payah sebenarnya. Mereka sudah pun memliki Death Star yang mempunyai kekuatan menghancur kan sebuah planet dengan sekali tembak sahaja. Bagaikan membunuh seorang model cum perunding cum penterjemah dengan c4. Mudah dan cepat. Dijamin berkesan 100%. Ditambah pula dengan force yang dikusaia oleh para Jedi ini, tenaga dalaman (ala-ala tenaga batin) mereka mampu menumpaskan siapa sahaja.







Luke sedar bapanya telah tersalah jalan. Bapa itu perfikir akhirnya beliau telah menemui kebenaran. Namun sebenarnya beliau sesat. Namun tidak sedikit pun Luke berpatah arang berkerat rotan dengan bapanya beliau akui masih ada kebaikan dalam diri bapa itu. Ketika diuji di hadapan Emperor untuk bertarung dengan bapa kandungnya itu, Luke tangkas mengangkat Lightsaber dan bermain pedang demi untuk tidak tunduk kepada kebatilan. Di akhir pertarungan Darth Vader hampir tewas. Tangannya sudah dikerat oleh Luke. Lantas Emperor menyerang pula Luke. Orang jahat yang berkuasa pasti akan menghapuskan mereka yang dirasakan boleh menggugat kedudukannya.







Luke meraung kesakitan dek kerna kuasa elektrik yang dihalakan kepada beliau oleh Emperor yang tua keparat itu. "Ayah ku.Ayah ku.Bantulah anak mu ini" jerit Luke kepada Darth Vader. Lord Vader yang sudah tidak punya daya itu mengambil sedikit kekuatan keran terkesan dengan doa anaknya di saat itu yang masih tidak putus harapan terhadap ayanhya sendiri. Tanpa lengah, Darth Vader menghumban Emperor ke dalam jana kuasa Death Star dan berakhirlah hayat Emperor terkutuk itu. Berakhir lah tragedi anak dan bapa di atas bintang kematian itu dengan kematian sang ayah dipangkuan anak dalam keadaan ayahnya sudah bertaubat.







Apa pula yang berlaku di bulan Endor,stesen janakuasa pertahanan Death Star? Apa pula yang Pakatan Pembebasan (Rebelion Alliance) lakukan?Adakah mereka duduk sahaja dirumah masing-masing?Adakah mereka sekadar datang ceramah?Adakah mereka sibuk menge"tag" Facebook pemimpin-pemimpin mereka dengan iklan baju kurung atau gel "tahan lasak" dan "tahan lama"? Tidak. Mereka sedikit pun tidak menyerahkan segalanya bulat-bulat kepada pemimpin-pemimpin mereka. Dengan gabungan Pakatan Pembebasan dan Ewoks.masyarakat pribumi Bulan Endor, mereka berhasil menghancurkan stesen janakuasa pertahanan berkenaan. Dalam masa yang sama Lando yang mengemudi Millenium Falcon milik Hans Solo bersama dengan barisan pejuang terus mengasak Death Star sesudah stesen janakuasa pertahanannya dimusnahkan. Kerjasama dalam kumpulan dan semangat yang cekal ditunjukkan oleh para pejuang ini berhasil menghancurkan sebuah pemerintahan yang korup dan zalim.








Ingat kawan-kawan. Perkara-perkara yang buruk akan sentiasa beredar di sekeliling kita dan tak akan mudah-mudah lenyap begitu sahaja sekiranya kita kekal berpeluk tubuh. Harapan baru untuk menuju kebaikan tidak akan tercapai tanpa usaha yang jitu daripada semua pihak. Malah kalau pun kita terus mengharap dan berdoa tanpa usaha,Tuhan pun tak akan mudah-mudah memperkenankan permintaan kita itu . Seperkara lagi, usaha kita itu biarlah sesuai dan berkadar terus dengan misi kita itu. Janganlah nak minum air kelapa kita panjat pokok rambutan. Nak menumbang kan gergasi pemerintah zalim janganlah kita asyik main game.