Monday 18 April 2011

Benda




Malam belum betul-betul larut. Namun teman-teman serumah Kudus dah jauh berlayar.Kordi sudah terbongkang dengan seluar katak tidak berbaju menghadap kipas. Hafiz pula merengkok dalam gebar merah dan bantal bercorak bintangnya yang sangat-sangat dia sayang itu. Sengaja Kudus meninjau kamar kawan-kawanya saat nak ke tandas tadi melangsaikan hajat. Dia kembali ke depan laptop membaca berita. Al maklumlah peti televisyen tidak ada dalam rumah bujang tiga bilik ini. Hendak ke rumah jiran,malas pula. Internet sahajalah teman Kudus dikala susah dan senang ini. Tidak dapat dia membayangkan hidup tanpa internet. Sehari tidak ada internet,tidak senang duduk dibuatnya. Kudus dan internet tak dapat dipisahkan. Bagai Bob Marley dengan reggaenya. Kasim Selamat dengan pop yeh yeh nya. Portal berita-berita tanah air selalu menjadi perkara yang awal wahid baginya yang jauh diperantauan ini. Selepas itu portal-portal Asia Barat. Kemudian bola. Sesudah itu baru lah yang lain-lain. Ya begitulah susunannya. Kalau tidak membaca atau menonton internet lah teman Kudus. "PRK bimbang Peguam Negara Dakwa Ashraf". Begitu bunyi tajuk utama sebuah portal kegemaran Kudus. Kisah ketua pembangkang di negaranya bakal berhadapan dengan tuduhan berat bersabit kasus seks. "Bangsat betul la politikus-politikus ini.Dah tak ada kerja gamaknya.Liwat,seks,pelacur,mani,togel.Dah macam tengok Redtube",hati Kudus bersuara kecil. Politik tanah tumpah darahnya itu tak ubah seperti laman web porno yang heboh dikata-katakan orang itu. Dia sudah muak dengan cerita-cerita porno kelas murahan ini. Live camera memang tak menarik minat Kudus. Pencahayaan yang teruk.Lakonan yang gagal. Aktor-aktornya pula.Aduh!Hampeh, bak kata budak Ipoh yang tinggal di Rapat Setia.





Kerana terlalu fed up dengan kisah-kisah pornolitik tanah air itu,Kudus tiba-tiba teringat kan sesuatu. Sesuatu yang sudah lama dia tidak kena. Sesuatu yang Kudus dan rakan-rakannya amat gemar. Amat nikmat. Amat nyaman.Amat...Kudus teringat pernah satu masa dia tak boleh tak kena "benda" itu. Tiap-tiap hari,sesudah sahaja balik kelas atau sesudah Maghrib Kudus mesti nak kena. Benda yang Hafiz dan Kordi juga suka. Begitu juga Saad,Nora,Mali,Kadir,Warita,Mansur dan juga Abdul Ghafur anak saudagar karpet itu. Pernah satu ketika dek kerana selalu sangat kena benda tu,adik Kudus,Kimmi menegur. "Wei pakcik,kau jangan selalu sangat. Kau bukan tak tahu kesannya",Kimmi berpesan risaukan abangnya itu. Bukan Kudus tak tahu kalau kena benda tu selalu sangat. Dia amat maklum. Tapi kalau tak kena sehari bagai tak lengkap hidupnya.Selalu kalau nak kena dia akan bawa benda itu ke rumah. Rapatkan pintu dan...."Ah mengapa sudah lama aku tidak ke sana",bilang Kudus sendirian sambil mengorek-ngorek tabung bekas kuih rayanya. Malam ini Kudus harus kena. Biarlah adiknya yang satu itu bising kalau dia dapat tahu Kudus buat perangai lamanya. "Sekali sekala kena marah itu tandanya sayang",fikir Kudus. Cukup duit dicekau,Kudus mengenakan jeans yang sedikit koyak dilutut dan t-shirt Hard Rock cafe Bali yang sudah serabut kolarnya dan sedikit lusuh. Dengan sedikit tergopoh gapah,Kudus memakai kasut dan membuka pintu. Dia mahu cepat takut-takut benda itu habis. Kalau habis,Kudus tak akan dapat tidur lena. Dia akan masuk dalam selimut dan sedikit menggigil. Kalau tidak pun dia akan terbaring sambil memerhati siling biliknya yang sedikit dimakan kulat air itu. Tidak.Dia tidak akan biarkan dirinya "kempunan" malam ini. Dia harus cepat.







Sebelum keluar telefon bimbitnya berdering. Tidak.Adiknya menelefon,bagai mengetahui rancangan Kudus malam ini. Dia teragak-agak nak menjawab takut nanti kalau ditanya kemana hala tujunya malam ini.Dia takut nak berbohong.Sebab Kudus tak pandai berbohong. Pernah dia cuba-cuba mereka cerita tatkala adiknya bertanya adakah dia sudah berhenti kena "benda" itu.Kudus menyatakan tidak,tapi adiknya cepat terhidu yang Kudus masih lagi ambil "benda" itu. Dia pun hairan bagaimana adiknya begitu mudah menghidu. Adakah adiknya punya kuasa psikik. Adakah adiknya sudah menjadi seperti ahli nujum Pak Belalang. Tidak lah Kudus tahu. Dan kerana ketidakpakaran berbohong itu jugalah Kudus memang tak pernah bercita-cita ingin menjadi ahli politik. Sebab dia tak pandai berbohong. Bagaimana kalau dia cuba-cuba berbohong menyatakan kes seorang cina dan seorang pegawai kastam yang jatuh dari bangunan pencegah rasuah itu adalah kes bunuh diri. Pasti rakyat tidak akan mempercayai cerita bohong itu. Pasti cepat rakyat yang sudah semakin pandai hari ini menghidu pembohongan Kudus. Seperti rakyat dunia tidak percaya Neil Armstrong sudah sampai ke bulan dan Suami Perdana Menteri Malaysia seorang yang kurus.Kalau tak pandai berbohong memang susah nak jadi ahli politik. Nanti kawan-kawan akan dapat susah kalau dia berlaku jujur setiap masa.






"Helo!Along,kau buat apa tu?",adiknya Kimmi bertanya. "Errrr..Aku nak pergi kedai. Beli teh.Teh dah habis. Nak bikin teh tarik.Kenapa?",Kudus bertanya kembali. Jantungnya dup dap bagai motor bot yang pernah dia naiki di Port Dickson satu masa dulu dengan ayahnya. "Macam ni.Aku ingat nak bela arnab lah. Nanti kita pergi cari?Arnab kalau bela,nanti besar boleh makan dagingnya.Ok?",Kimmi menyatakan tujuan dia menelefon abangnya itu. "Oh boleh-boleh.Kuss semangat aku fikir kenapa lah kau telefon Along malam-malam ni.Nanti kita cari.Aku pernah pergi satu pasar di Ramtha. Di sana memang banyak arnab.Besar-besar macam Bugs Bunny",jawab Kudus sambil melangkah ke tempat benda itu. Dia melambai kepada tauke kedai runcit Sameah yang kebetulan keluar membasuh tangan di tepi jalan.
"Baik-baik.Nanti kita cari ye.Aku dah nak tidur ni. Kau jangan tidur lambat-lambat Along.Nanti....",Kimmi sengaja tak menghabiskan ayat terakhirnya itu sambil sedikit mengekek dihujung talian. Suka benar dia mengusik abangnya."Ye ye kejap lagi aku tidur. Kau juga tidur awal.Yalla bye",Kudus mematikan perbualan dan terus ke tempat "benda" itu. Ada sekumpulan anak-anak muda membakar arang dengan pemetik api di tepi jalan untuk menghidup kan argela. Kudus langsung tidak mengendahkan anak-anak muda berkenaan.Sekejap-sekejap beberapa kenderaan juga melintasi jalan bersebalahan Kudus. Kawasan rumah Kudus memang agak sibuk tak kira malam tak kira siang. Di kala pagi dalam perjalanan ke kuliah,kenderaan-kenderaan ini terutama bung-bung teksi akan selalu membunyi kan hon yang Kudus sehingga kini tak tahu apa tujuannya.







Sesudah melintasi satu lorong yang asalnya semak tetapi sudah berbekas jalannya kerana manusia kerap menggunakan laluan itu,Kudus melintasi pula sebuah kedai shawarma. Daging ayam bakar yang disusun rapi pada satu batang besi menghadap dapur pembakar itu sudah semakin nipis bila tiba malam-malam begini. Tauke kedai ini pasti tersenyum riang tiap kali daging itu menipis tanda peniagaannya maju. Selain shawarma,burger dan zinger turut dijual dikedai tersebut.Tapi makanan-makanan yang bercambah di mana-mana itu tak langsung menaikkan nafsu Kudus. Baginya makanan-makanan itu samalah seperti kedai menjual pakaian wanita. Di mana-mana pun bercambah-cambah. Di gedung-gedung membeli belah. Di pasar-pasar pagi,pasar malam, pasar tani dan pasar minggu di rumahnya. Malahan bazar-bazar larut malam yang meniru konsep Uptown Damansara yang bersepah-sepah itu juga dipenuhi dengan alat-alat solek.Kedai-kedai tas tangan,dompet,beg alat-alat solek,kain tudung dan segala macam keperluan wanita yang bercambah-cambah juga. Dimana-mana pun ada. Kalau dulu Ustazah Sapura yang mengajar Kudus ilmu Tauhid di sekolah rendah pernah menyatakan antara tanda-tanda kecil kiamat itu adalah wanita akan lebih ramai daripada lelaki. Jadi dengan banyaknya kedai-kedai menjual pakaian wanita itu petanda wanita memang ramai dan dunia memang nak kiamat.








Kini Kudus sudah semakin hampir dengan tujuannya. Sebab musabab kenapa dia keluar dari rumanhya waktu-waktu begini. Dia terus melangkah masuk ke tempat itu.Di perhatikan kiri dan kanan.Ada seorang dua sedang bersurah cerita itu dan ini sambil terselit di bibir masing-masing sebatang rokok jenama Gold Coast. Dia terus menghampiri seorang yang berbadan sihat dan kejap berjanggut ala-ala Ahmad Dhani yang dituduh Freemason itu. Orang berbadan sihat dan kejap itu memandang Kudus."Faddhal!",katanya bertanya kan kehendak Kudus. Dengan wajah separuh tersenyum Kudus membalas," Wahid wajibat har safari mua'alim"."Mashi",orang berbadan sihat dan kejap membalas semula sambil mengarahkan pekerjanya membungkus sekotak ayam goreng empat ketul,kepak,peha, dada dan pinggul pedas bersama dengan coslow sos cili dan mayonis berserta dengan dua keping roti berlada hitam. Kudus tidak sabar ingin pulang untuk meratah empat ketul ayam ini. Sudah terbayang-bayang di kepala peneman yang yang paling enak ketika menikmati ayam ini. Sudah tentu Sheldon, Leonard,Howard,Raj dan juga Penny. Alangkah bahagianya makan sambil melihat lima berkawan itu berceloteh tentang hidup masing-masing.








Selesai membungkus,pekerja kedai makan itu menghulurkan pesanan Kudus. "Faddhal". "Tislam alaik",balas Kudus. Ketika melangkah keluar dari kedai dengan sedikit tergesa-gesa tanpa sengaja Kudus tertembung dengan seseorang. Buku Madkhal Tashri' karangan Abdul Karim Zaidan dan beberapa keping nota terjatuh di atas lantai.

"Asif",spontan Kudus bersuara sambil mengutip buku dan nota-nota kuliah milik manusia bertubuh tinggi lampai,hidung mancung bak seludang itu.

"Tak pa tak pa",jelas manusia berkenaan dengan loghat Siam-Kedahnya. Orang ini merupakan pelajar baru, datang dengan temannya pada amatan Kudus.

"Lambat makan. Dari mana ni kak?",Kudus cuba berbasi-basi dengan pelajar baru itu sambil menghulurkan buku dan senyuman.

"Mai rumah kawan.Belajaq",pelajar tahun satu membalas dengan sedikit tersipu-sipu.

"Baguih-baguih.Dah malam ni tak pa ka balik bedua ja?",Kudus menambah-nambah perbualan.

"Takpa aih.Rumah depan ni ja".

"Baik-baik. Saya Kudus. Jalan baik-baik na"

"Saya Bella.Kudus nak tanya sikit.Kedai photostat bukak dak malam-malam ni?",tanya pelajar baru bernama Bella itu.

"Depan rumah saya ada kedai photostat. Kalau nak pi saya boleh tunjuk",sekali lagi Kudus mengoffer walaupun jawapannya tidak menjawab soalan pelajar baru itu.

"Hemm tak pa lah.Esok sahaja lah saya pi.Terima kasih na.Nak beli ayam sat",jelas Bella.


"Takdak apa aih",balas Kudus dengan salam dan senyum.


Kudus menghala pulang. Dirumah nanti,Kudus ingin makan bersama-sama Sheldon,Leornard,Howard Raj dan Penny. Malam itu Kudus sudah dapat "benda" dan adiknya Kimmi pasti akan berceloteh esok hari kerana Kudus makan ayam goreng.